PORT DICKSON: Kebenaran aktiviti rentas negeri dan daerah di seluruh negara kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memberi kelegaan besar kepada peniaga kecil-kecilan serta pengusaha-pengusaha hotel di daerah ini.
Apa tidaknya, sekatan merentas negeri terutama kepada penduduk di Lembah Klang menyebabkan industri pelancongan di Port Dickson terjejas teruk.
Pantai-pantai seperti Pantai Telok Kemang yang kebiasaannya penuh dengan orang ramai yang datang berkelah bertukar lengang tidak ubah seperti semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hotel-hotel di daerah ini juga terkesan dengan jumlah kehadiran tetamu yang menjunam, banyak bilik yang kosong sehinggakan ada hotel beroperasi pada hujung minggu sahaja malah ada yang langsung tidak beroperasi.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, pihaknya lega dan menyambut baik keputusan kerajaan memberi kebenaran kepada aktiviti rentas negeri dan daerah.
“Hotel-hotel di Port Dickson sangat terkesan, banyak hotel yang rugi. Namun mereka cuba bertahan. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan dan larangan rentas negeri dikuatkuasakan di Lembah Klang baru-baru ini, ia memang begitu mencabar kerana 70 peratus tetamu adalah datang dari Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
“Kami lega betul, tidak sangka secepat ini kebenaran diberikan kerana hotel-hotel menjangkakan mungkin kebenaran hanya diberi awal tahun depan. Apa-apa pun kami berterima kasih kepada kerajaan dan pihak hotel akan memberi kerjasama termasuk komitmen mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Haziz, hasil maklumat yang diperolehnya, banyak hotel sudah mula banyak menerima tempahan sejak Ahad lalu dan menjangkakan hujung minggu ini suasana Port Dickson kembali ceria.
“Banyak ahli kami yang menyatakan kelegaan, mereka cukup teruja untuk kembali menerima kedatangan tetamu apatah lagi ketika sekolah turut ditutup ketika ini. Ramai yang ke Port Dickson untuk bercuti dengan keluarga,” katanya.
Jelas Haziz lagi, walaupun pihak hotel teruja menerima kedatangan tetamu masing-masing, beliau memberi jaminan setiap ahli persatuannya akan turut memberi tumpuan soal penjagaan SOP. – UTUSAN ONLINE










