BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mula menghantar bil atau notis cukai tafsiran melalui kaedah CyberBill selepas ini selaras dengan hasrat menjadikan Seberang Perai sebuah Bandaraya Pintar dan Bandaraya Rendah Karbon menjelang 2022.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, penghantaran tersebut dijangka bermula dengan bil cukai tafsiran penggal pertama tahun depan.
Menurut beliau, CyberBill adalah inisiatif penghantaran bil secara digital melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang mempunyai pautan atau link khas kepada pembayar cukai.
“Ia akan memaparkan bil terkini dan pembayaran cukai juga boleh terus dibuat secara dalam talian sekali gus bertepatan dengan pelaksanaan norma baharu susulan penularan wabak Covid-19,” katanya menerusi sidang akhbar di laman Facebook MBSP di sini semalam.
Rozali berkata, selain lebih cepat, mudah dan cekap, kaedah pembayaran menerusi CyberBill juga dapat menjimatkan kos pengurusan cetakan bil serta pengeposan.
Pada masa sama, katanya, kaedah pembayaran tersebut dijangka meningkatkan jumlah pembayaran cukai tafsiran secara online selain mengalih perbelanjaan ke arah pembangunan Seberang Perai yang lebih penting.
Sehubungan itu, katanya, semua pemilik premis yang berkenaan dinasihatkan mengemas kini maklumat e-mel serta nombor telefon terbaharu bagi membolehkan capaian kepada CyberBill sampai ke segenap peringkat.
“Untuk tujuan itu, beberapa platform khas telah disediakan termasuk menerusi teknik imbasan kod QR (MBSP QR Bill) yang telah disediakan pada bil cukai tafsiran sebelum ini atau melayari laman sesawang MBSP untuk keterangan lanjut,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE