SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan sebanyak 1,000 selimut untuk pelarian di Azad Jammu Kashmir dan wilayah yang diceroboh tentera India.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kesemua selimut tersebut diperlukan memandangkan hujung tahun ini diramalkan musim sejuk luar biasa berlaku di kawasan yang dikepung tentera India.
“Kita mengadakan kempen mengumpul dana untuk membeli sekurang-kurangnya 1,000 helai selimut bagi disumbang kepada pelarian di Jammu Kashmir yang mana sehelai berharga
RM65.
“Kita akan membeli selimut ini di Islamabad, Pakistan dan kita hendak sampaikan sebelum 25 Disember ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bantuan Musim Sejuk Untuk Kashmir, baru-baru ini.
Yang hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Amna Baloch; Pengerusi Malaysia Women For Kashmir, Datin Rosiah Salleh dan Pengerusi Malaysia-Kashmir Youth Movement, Mohammad Fadhil Yusni.
Mengulas lanjut, Mohd.Azmi berkata, buat masa ini, pihaknya menerima 500 selimut sumbangan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 tetapi bekalan yang diperlukan adalah lebih daripada jumlah tersebut. Kita menyeru rakyat Malaysia melakukan amal jariah dengan menyumbang kepada Mapim bagi mengumpul dana untuk membeli selimut tersebut.
“Sesiapa boleh menyumbang untuk membantu pelarian di Jammu Kashmir. Sekiranya setiap rumah dan masjid menderma sehelai selimut mungkin sasaran lagi 500 atau lebih boleh dicapai,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Mapim 8602715930 atau menghubungi Ena Eda Zainul Nor di talian 0142373200 dan 01118814769. – UTUSAN ONLINE










