PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedia memberi perlindungan kepada bayi yang ditikam bapanya di flat Puchong Permai, Selangor semalam.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, bayi berusia 18 bulan itu mungkin mendapat perlindungan khas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas keluar dari hospital.
“Saya berasa kesal dengan apa yang berlaku, namun kementerian sedia menawarkan perlindungan untuk mangsa setelah proses siasatan polis diselesaikan nanti,” katanya.
Beliau mengulas insiden seorang bapa yang berusia 27 tahun mengamuk dan menikam anak perempuannya itu dengan pisau pemotong roti di sebuah rumah dekat Subang Jaya, Selangor semalam.
Suspek ditahan polis yang bergegas ke lokasi kejadian itu manakala mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam situasi stabil.
Terdahulu, beliau hadir bagi menyampaikan sumbangan bakul makanan bersempena Kembara Prihatin Negara kepada 47 penerima di Pangsapuri Cempaka, Sepang dekat sini.
Menjelaskan lebih lanjut, Rina berkata, kementerian itu akan mengenal pasti apakah faktor kejadian tragik sedemikian boleh berlaku dalam masyarakat agar tidak berulang.
“Saya nak lihat apa punca insiden sebegini sebab kita tidak mahu ia menimpa keluarga lain pada masa akan datang terutama perubahan emosi ahli keluarga terdekat,” katanya.
Justeru, beliau berharap masyarakat dapat memanfaatkan talian Nur Kasih 15999 yang turut menerima pesanan melalui aplikasi Whatsapp 019-2615999 untuk perkhidmatan kaunseling.
Ia dengan kerjasama Lembaga Kaunselor Malaysia, sebuah agensi di bawah kementerian itu, bukan sahaja bagi mangsa buat aduan, malah sesiapa ada maklumat awal kes sedemikian.
“Kita berharap masyarakat dapat memainkan peranan kerana mereka orang pertama dapat merasai perubahan emosi dan gangguan seseorang sebelum ia merebak lebih jauh,” katanya. – UTUSAN ONLINE










