Mahu niaga tapi takut gagal - Utusan Malaysia

Mahu niaga tapi takut gagal

SERDANG Cendol adalah antara contoh kejayaan perniagaan yang diusahakan oleh mahasiswa semasa masih dalam tempoh pengajian. – FACEBOOK SERDANG CENDOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah pengangguran dalam kalangan graduan bumiputera bukanlah perkara baharu. Tahun ini, keadaan menjadi lebih parah apabila negara diserang wabak Covid-19 yang memberikan kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi sekali gus menyukarkan lagi peluang mereka untuk memperoleh peluang pekerjaan sewajarnya. Justeru, kita menyambut baik pelbagai inisiatif yang dirangka oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan bumiputera terutama dalam bidang keusahawanan.

Dalam konteks ini, saya tertarik dengan pembentangan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam Dewan Rakyat baru-baru ini. Sepanjang tempoh empat tahun lalu, sebanyak 49,983 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) didapati menjalankan perniagaan. Lebih membanggakan apabila dimaklumkan daripada jumlah itu, 7,148 graduan masih meneruskan kerjaya mereka sebagai usahawan selepas tamat pengajian. Malah, ramai juga dilaporkan sudah menjadi usahawan berjaya seperti Arif Tukiman, graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bagi RunCloud berpangkalan di Cyberjaya. Syarikatnya menguruskan lebih 230,000 aplikasi web dari lebih 100 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan India yang menjadi pasaran utama. Bukankah ini suatu pencapaian yang wajar diteladani oleh graduan bumiputera?

Ironinya, melalui pelbagai inisiatif KPT, mahasiswa tidak perlu lagi tunggu sehingga tamat belajar untuk menceburi bidang keusahawanan, sebaliknya mereka sudah mula disediakan pelbagai platform dan peluang untuk membuka perniagaan ketika bergelar mahasiswa lagi.

GREEN LANE

Misalnya, KPT merangka enam inisiatif utama sebagai pelan perancangan komprehensif. Enam inisiatif tersebut ialah menerapkan elemen keusahawanan merentasi kurikulum dan bidang pengajian melalui program keusahawanan, menjadikan modul Kursus Asas Keusahawanan sebagai subjek wajib di IPT untuk memastikan semua penuntut pelbagai bidang pengajian mendapat pendedahan keusahawanan secara berstruktur, melaksanakan Rangka Kerja Penjana Pekerjaan atau Job Creator Framework, menyediakan inkubator keusahawanan bagi membantu pelajar mendapat latihan yang sistematik, memperkenalkan dasar green lane iaitu memberi keutamaan kepada perniagaan dan koperasi milik pelajar di IPT, menyediakan peruntukan RM20 juta bagi program pembiayaan mikro KPT-MEDAC: Siswapreneur dengan kerjasama Tekun Nasional dan menyediakan peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan program reskilling dan upskilling melalui inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Di samping itu, baru-baru ini KPT juga menjalinkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan bumiputera khususnya dalam bidang keusahawanan. Kerjasama ini dilihat dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 300,000 graduan yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini dan sebagai permulaan bagi rangka kolaborasi ini, 500 graduan bumiputera akan dilatih melalui program Entrepreneur MOHE@PUNB Empowering Business Through Digitalisation selama tempoh tiga bulan.

Program jangka pendek tersebut memberi tumpuan kepada latihan pengurusan dan kepimpinan, kewangan, aset dan stok serta bimbingan teknikal bagi pengukuhan kemahiran digital seperti pemasaran digital, penyelidikan dan analisis sesawang yang amat diperlukan oleh entiti perniagaan ketika ini untuk kekal berdaya tahan dan bersaing di pasaran yang lebih kompetitif. PUNB juga menyediakan pembiayaan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta serta peluang mengikuti program JUMPER PUNB bagi peserta yang berjaya menamatkan latihan dan memenuhi kriteria ditetapkan serta memilih untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya.

PENCETUS SEMANGAT

Dalam hal ini, saya percaya IPT juga boleh menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada para siswa bumiputera untuk terlibat dalam bidang keusahawanan. Misalnya, di samping membantu kementerian melaksanakan semua inisiatif tersebut, IPT juga boleh bertindak dengan lebih agresif dan proaktif bagi mencapai impian melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan mahasiswa bumiputera. Antaranya, IPT wajar merangka program-program berbentuk galakan dan suntikan motivasi kepada pelajar untuk terlibat dalam bidang perniagaan. Hal ini penting kerana saya percaya ramai yang berminat untuk menjadi usahawan terutamanya dalam talian, tetapi sikap seperti kurang yakin dan takut gagal menjadi batu penghalang yang terbesar. Untuk itu, adalah disyorkan agar program motivasi seperti ini dimulakan daripada pelajar baharu tahun pertama lagi supaya dari awal lagi mereka sudah memahami kelebihan menjadi seorang usahawan.

IPT juga boleh menggalakkan para pelajar membuka perniagaan sejak tahun pertama lagi dan seterusnya membimbing mereka sehingga tamat tempoh pengajian. Percayalah, bila ini dapat dilakukan, pada akhirnya kelompok ini pasti akan berjaya menjadi usahawan yang hebat dan tidak lagi risau tentang peluang pekerjaan setelah tamat pengajian kelak.

Ironinya, golongan mahasiswa bumiputera perlu sedar betapa ini bukan lagi zaman kerja mencari kita dan wajar membuang jauh-jauh budaya dan sikap yang hanya mahu menceburi bidang kerja makan gaji. Perubahan landskap ekonomi dunia terutamanya akibat serangan wabak Covid-19 telah meletakkan kita dalam situasi yang sangat tergugat dan tidak menentu. Justeru, hanya yang bijak merebut peluang mampu mengharungi segala cabaran mendatang, sekali gus boleh meneruskan survival kehidupan masing-masing. Tahniah kepada KPT yang tampil dengan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan bumiputera.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN