fbpx

26 Januari 2021, 11:47 pm

  TERKINI

Lanjutan pengecualian cukai SSPN disambut baik

PTPTN memberi kelonggaran kepada peminjam yang mempunyai masalah kewangan untuk memohon pelanjutan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN mensasarkan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan pengembangan bagi menyokong rakyat dan perkembangan ekonomi.

Menerusi langkah cukai dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, insentif pelepasan cukai pendapatan diperluas bagi mengurangkan beban rakyat mendepani ketidaktentuan akibat pandemik.

Ini termasuklah mengekalkan pengecualian cukai pendapatan bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga RM8,000 dan melanjutkan pengecualian berkenaan sehingga tahun taksiran 2022.

Pendeposit sambut baik cadangan kerajaan

Rata-rata pendeposit SSPN memberikan reaksi positif dan menerima baik cadangan diumumkan kerajaan.

Menurut Lee Shaw Feng, langkah ini dapat menggalakkan lebih ramai ibu bapa membuat pelaburan awal untuk pendidikan anak-anak dan pada masa yang sama mendapat manfaat melalui pengecualian cukai pendapatan ke atas simpanan bersih pendeposit.

Muhammad Ridzuan Zulkepory pula berkata, pengecualian cukai yang diberikan dapat menambah jumlah simpanan di SSPN serta mengurangkan kebergantungan bagi tujuan pinjaman pendidikan dan memanfaatkan simpanan yang dilakukan untuk pendidikan anak pada masa depan.

Belanjawan 2021 mencadangkan potongan cukai menerusi bidang pendidikan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk dua tahun lagi sehingga tahun taksiran 2022 bagi simpanan bersih SSPN tahun semasa dengan pengecualian cukai maksimum sehingga RM8,000.

Pelepasan akan diberikan kepada ibu bapa, ibu bapa angkat atau penjaga yang sah dari segi undang-undang dan menyimpan dalam akaun SSPN untuk manfaat anak. Pendeposit boleh menikmati manfaat pelepasan cukai sehingga maksimum RM8,000 setahun tertakluk kepada jumlah simpanan bersih tahun semasa.

Ibu bapa yang membuat taksiran berasingan dan membuka akaun simpanan SSPN berasingan atas anak yang sama turut diberikan pelepasan sehingga maksimum RM8,000 seorang setahun.

Begitu juga bagi ibu bapa yang membuat taksiran bersama dan membuka akaun simpanan SSPN berasingan layak diberi pelepasan sehingga maksimum RM8,000 setahun.

Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi inisiatif diberikan kepada pendeposit SSPN dalam Belanjawan 2021.

PTPTN turut menyeru rakyat Malaysia terus menjadikan SSPN sebagai pilihan utama untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi selaras dengan usaha kerajaan memberikan manfaat penabungan melalui insentif Belanjawan 2021 ini.

Sebarang maklumat lanjut layari laman sesawang SSPN hari ini.