Kilang haram punca pencemaran sungai - Utusan Malaysia

Kilang haram punca pencemaran sungai

AYUB JAMIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Sebuah kilang kitar semula haram di Jalan Kulai-Kota, Kulai dikenal pasti menjadi punca pencemaran Sungai Johor sehingga menyebabkan kejadian air berbau pandan, Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, operasi kilang tidak berlesen itu dikesan menerusi operasi yang dijalankan Majlis Perbandaran Kulai pada Ogos lepas.

Katanya, satu notis peringatan dikeluarkan terhadap pemilik premis di bawah Seksyen 108 Akta Kerajaan Tempatan supaya menghentikan aktiviti pengoperasian dengan serta-merta.

“Selain itu, satu tawaran kompaun dikeluarkan pada 18 Ogos di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 171 di atas kesalahan gagal mematuhi notis peringatan.

“Di samping itu, satu notis meruntuhkan bangunan tersebut dalam tempoh 14 hari dikeluarkan kepada pemilik pada 9 September,” katanya ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu) semasa sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sebelum ini, Wee Tse mendedahkan kilang itu membuang sisa kimia mengandungi Tetrahydrofuran (THF) iaitu bahan digunakan untuk melarutkan plastik ke Sungai Johor.

Pembuangan bahan kimia ke sistem saliran oleh sebuah kilang haram di Jalan Kota Tinggi-Kulai didakwa menjadi punca kejadian air berbau pandan membabitkan pengguna air pada Julai lalu.

Bahan kimia itu jika melebihi atau piawaian ditetapkan, boleh memberi kesan kepada kesihatan termasuk kepada otak manusia.

Menurut Ayub, Majlis Perbandaran Kulai juga mengeluarkan satu notis di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 kepada kilang itu di atas kesalahan menjalankan pemajuan tanpa kebenaran.

Katanya, terdapat empat notis dikeluarkan susulan laporan Badan Kawalan Selia Air Johor yang mengesan bau yang tidak normal di dalam loji air terawat pada 19 Julai lalu.

Katanya, pemantauan berkala dijalankan pada 10 November dan mendapati kilang tidak beroperasi.

“Namun pemantauan pada 11 November mendapati kedengaran bunyi kerja-kerja pemotongan besi daripada dalam premis.

“Tindakan susulan operasi bersepadu akan dijalankan dari masa ke semasa bagi perkara ini. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam akan menjalankan intipan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya