Ibu bergegas bawa anak sakit pulang ke Melaka selepas klinik swasta enggan terima pesakit luar Kelantan - Utusan Malaysia

Ibu bergegas bawa anak sakit pulang ke Melaka selepas klinik swasta enggan terima pesakit luar Kelantan

SITI Anum Che Ab. Wahab bersama Lily Adalia Tihani yang kini mendapat rawatan di Hospital Pantai, Ayer Keroh, Melaka. – MINGGUAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keliru atau mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19?

Tindakan dua buah klinik swasta di bandar Tanah Merah, Kelantan enggan menerima pesakit luar dari negeri itu untuk mendapatkan rawatan menimbulkan tanda tanya.

Situasi itu dihadapi oleh seorang ibu yang kecewa apabila dua klinik swasta di bandar itu enggan menerima dua anaknya untuk mendapatkan rawatan hanya kerana MyKid menunjukkan mereka beralamat di Melaka.

Sedangkan pihak Kementerian Kesihatan tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana klinik swasta supaya tidak menerima pesakit dari luar daerah atau negeri lain untuk mendapatkan rawatan.

Apatah lagi pesakit itu datang dari negeri yang bebas daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau zon hijau.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Siti Anum Che Ab. Wahab, 33, berkata, terdesak dengan keadaan kedua-dua anaknya yang sedang sakit iaitu Suci Sofia Tihani, 6, dan Lily Adalia Tihani, 1 tahun 6 bulan, memaksanya memendekkan cutinya di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah, lalu bergegas pulang ke Melaka dengan jarak perjalanan lebih 400 kilometer bagi memboleh­kan anak-anaknya mendapatkan rawatan.

“Saya balik ke kampung ming­gu lepas dan sepatutnya bercuti sehingga 31 Disember ini, tetapi apabila berlaku insiden seperti ini, saya memutuskan untuk se­gera kembali ke Melaka.

“Sebaik sahaja kembali Khamis lepas, anak kedua saya terpaksa dimasukkan ke Hospital Pantai Ayer Keroh kerana demam yang berlarutan. Mujurlah saya buat keputusan yang tepat untuk balik ke Melaka.

“Ujian saringan Covid-19 oleh pihak Hospital Pantai telah dibuat ke atas anak saya dan keputusannya adalah negatif. Malah doktor mengesahkan te­kak, telinga anak saya semua baik dan tidak ada simptom Covid-19,” ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut, Siti Anum berkata, Suci Sofia me­ngadu sakit gigi pada Sabtu minggu lepas dan pergi ke sebuah klinik gigi untuk mendapatkan rawatan dua hari kemudian (Isnin).

Bagaimanapun ujarnya, se­waktu mendaftar di klinik tersebut, salah seorang pekerja di situ yang melihat MyKid Suci Sofia beralamat di Klebang, Melaka, terus tidak membenarkan rawatan dibuat di klinik berkenaan.

“Walaupun saya merayu sebab salah satu gigi anak saya goyang dan perlu dicabut, bahkan saya beritahu juga sakit gigi bukanlah simptom Covid-19, tetapi pekerja di situ tetap berkeras. Dia terus meminta saya pulang.

“Staf klinik itu cakap mereka hanya menerima rawatan bagi pelanggan yang beralamat di Kelantan sahaja. Saya terperanjat kerana sepatutnya dia harus melihat Melaka telah tamat tempoh PKPB dan tempat tinggal saya di Klebang pula adalah zon hijau,” ujarnya.

Keesokannya (Selasa) pula, kata Siti Anum, anak keduanya pula demam selepas ter­kena hujan di rumah dan apabila cuba mendapat rawatan di klinik swasta lain di Tanah Merah, situasi serupa berlaku seperti dialami anak sulungnya.

“Saya amat terkilan dengan sikap pengurusan dua klinik tersebut. Anak saya hanya demam dan tidak ada simptom Covid-19, inilah detik sukar untuk saya lupakan. Saya anak kelahiran Kelantan, walaupun anak-anak saya lahir di Melaka, mereka tidak wajar dilayan sedemikian rupa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kesihatan meneliti dan mengeluarkan satu garis panduan khususnya kepada mereka yang datang dari luar negeri tertentu untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta.

“Janganlah terlalu kejam hanya kerana sakit gigi yang bukan salah satu simptom Co­vid-19, klinik tutup pintu untuk menerima pesakit menjalani rawatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN