KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank memperkenalkan inisiatif `Earth Hero’ untuk menggalakkan kanak-kanak lebih peka terhadap penjagaan alam sekitar sambil mengamalkan tabiat pengurusan wang yang bijak.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Domenic Fuda berkata, `Earth Hero’ merupakan hasil usaha Hong Leong untuk memperluas inisiatif kelestarian kepada pelaburan komuniti dengan mengetengahkan keterangkuman dan kecelikan kewangan melalui produk dan perkhidmatan syarikat itu.
“Kami memahami peranan yang kami pegang sebagai institusi kewangan dalam membina dan mengekalkan ekosistem komuniti dan alam sekitar yang mantap.
“Kami amat berbangga menjadi bank pertama di Malaysia dan rantau ini yang mendorong generasi muda ke arah menjadi lebih peka kewangan dan memiliki kesedaran penjagaan alam sekitar melalui landasan perbankan mudah alih HLB Pocket Connect.
“Aplikasi ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan ini merupakan satu peluang keemasan untuk menggunakan konsep gamifikasi bagi menerapkan pendidikan kewangan melalui ganjaran yang memanfaatkan alam sekitar. Semua ini berada di bawah pengawasan ibu bapa dengan kerjasama perusahaan ekososial,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Hong Leong, aplikasi HLB Pocket Connect memaparkan satu ruangan baharu yang dipanggil Tugasan dan ruangan tersebut akan menyediakan misi mesra alam sekitar melalui penghutanan semula di Sabah dengan tujuan mendidik kanak-kanak bagaimana pilihan yang mereka ambil boleh memberi impak kepada bumi.
Setiap tugasan yang diselesaikan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menanam pokok maya dan bagi setiap 20 pokok maya yang ditanam berdasarkan tugasan yang diselesaikan, Hong Leong akan menanam sebatang pokok bagi pihak kanak-kanak tersebut.
Sebagai penghargaan, kanak-kanak itu akan menerima sijil dengan koordinar sebenar pokok yang ditanam atas nama mereka.
Pengurus Besar Perkhidmatan Kewangan Peribadi untuk Deposit dan Digital Hong Leong, Galvin Yeo berkata, ciri gamifikasi dan landasan mudah alih interaktif dalam aplikasi tersebut lebih sesuai untuk generasi pengguna digital dan teknologi yang tulen seperti generasi kanak-kanak ketika ini.
“Dengan HLB Pocket Connect, kami dapat mengintegrasikan unsur kecelikan alam sekitar dengan mudah,” katanya. – UTUSAN










