KUALA TERENGGANU: Banjir fasa kedua yang melanda Terengganu sejak 23 November lalu secara rasminya berakhir hari ini selepas sembilan hari.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, penamatan itu selaras dengan penutupan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang di Marang pada pukul 10.30 pagi ini.
Katanya, kesemua lapan mangsa banjir daripada tiga keluarga itu kembali pulang ke rumah masing-masing berikutan kejadian banjir termenung yang surut.
“Bagaimanapun kita menerima maklumat amaran cuaca waspada (kuning) membabitkan Terengganu bermula hari ini hingga Sabtu dan semua jawatan kuasa peringkat negeri serta daerah bersiap-siaga memberikan yang terbaik untuk masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










