DRZ jana pelaburan RM350 juta - Utusan Malaysia

DRZ jana pelaburan RM350 juta

HASNI Mohammad berucap pada Majlis Pelancaran DRZ di Iskandar Malaysia, Johor, hari ini. - IHSAN MEDKOM MB JOHOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Zon Dron dan Robotik (DRZ) yang dilancarkan di Iskandar Malaysia, di sini hari ini bakal menarik pelaburan bernilai RM350 juta di samping mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang berkenaan menjelang 2025.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, zon itu meletakkan Johor sebagai peneraju dalam industri dron dan robotik yang memiliki potensi besar untuk diterokai.

Katanya, inisiatif itu juga selari dengan usaha kerajaan negeri menubuhkan Hab Digital di wilayah berkenaan seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2021.

“Johor perlukan satu ekosistem bersepadu bagi membolehkan negeri ini memajukan lagi sektor ekonomi digital khususnya bagi rantau Asia Tenggara.

“Penubuhan zon ini juga dijangka menarik kemasukan pelaburan bernilai lebih RM350 juta selain mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu dalam industri dron dan robotik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran DRZ secara maya yang merupakan pusat pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara di sini, hari ini.

Yang turut menyaksikan pelancaran majlis berkenaan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Khairil Anwar Ahmad memberitahu, penerokaan dalam teknologi dron dan robotik boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor ekonomi.

“Antara sektor terlibat ialah keselamatan, pertanian, logistik dan pelbagai cabang sektor perkhidmatan.

“Selain itu, penerokaan lebih mendalam terhadap teknologi ini juga berupaya membolehkan kita meneroka penggunaan dron dan robotik dalam pelbagai sektor lain pada masa depan,” ujarnya.

Beliau berkata, situasi terkini melibatkan pandemik Covid-19 menyaksikan teknologi digital memainkan peranan penting khususnya dalam memacu sektor ekonomi negara.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu bergerak seiring dengan teknologi terkini dengan menjadikan Singapura sebagai contoh, yang mana teknologi digital diintegrasikan dalam urusan harian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN