KUANTAN: Jurujual terpaksa berputih mata kerugian RM5,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai kenalannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, Rabu lalu, lelaki berusia 36 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang disangka kenalannya.
Menurutnya, suspek memaklumkan telefonnya hilang dan menggunakan nombor baharu untuk menghubungi mangsa.
“Suspek meminta tolong supaya mangsa membuat bayaran kepada akaun bank milik kontraktor yang melakukan ubah suai rumahnya.
“Suspek juga berjanji akan membayar semula wang tersebut kepada mangsa,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ujar Mohd. Wazir, mangsa memindahkan RM5,000 ke akaun bank milik seorang individu sejurus perbualan telefon ditamatkan.
Tambah beliau, suspek sekali lagi menghubungi mangsa untuk meminta wang, sekali gus menyebabkan jurujual itu mula sangsi.
“Disebabkan berasa ragu. Mangsa pergi berjumpa kenalannya itu. Kenalannya menafikan meminta tolong untuk membayar kontraktor,” katanya.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE










