MELAKA: Sebuah syarikat dikenakan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menjual 23 unit barangan dengan menyalahgunakan cap dagang jenama Hermes, Jun lalu.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Direct Outlet Sdn. Bhd. yang diwakili Au Ting Chin, 55, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didapati memperdagangkan 23 unit barangan jenama Hermes dianggarkan berjumlah RM12,800 yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagang 2019.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari di premis Direct Outlet Store Sdn. Bhd., G-092 & G-093, Dataran Pahlawan Megamall, Jalan Merdeka, pada 3 Jun lalu.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.
Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman denda minimum dapat diberikan dengan alasan telah menutup premis tersebut.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sallim Wahid memohon hukuman berat dikenakan memandangkan tertuduh mempunyai lapan rekod lampau membabitkan kesalahan sama.
Norma kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM20,000 atau penjara lima bulan jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN ONLINE











