Didakwa miliki 22 paintball ‘marker’ menyerupai senjata tiruan - Utusan Malaysia

Didakwa miliki 22 paintball ‘marker’ menyerupai senjata tiruan

IDILHAN Ibrahim (tengah) dikawal anggota polis selepas didakwa memiliki senjata sukan paintball yang menyerupai senjata tiruan di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas pengurus sukan paintball didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 22 laras paintball ‘marker’ menyerupai senjata tiruan, pada September lalu.

Tertuduh, Idilhan Ibrahim, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dalam milik dan jagaannya sebanyak 22 laras senjata paintball yang menyerupai senjata tiruan pada pukul 9.20 pagi di Pusat Ekuestrian Hang Jebat dalam daerah Melaka Tengah, 12 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan tarikh untuk serahan dokumen.

Peguam Mawar Nur Izatti Md. Zamri yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan pada hari kejadian anak guamnya hanyalah sebagai pengurus pertandingan sukan itu dan bukan pemilik senjata tersebut, selain tidak lagi bekerja serta perlu menanggung ahli keluarga termasuk tiga orang anak.

Hujahnya, tertuduh juga perlu membiayai kos rawatan ibunya dan bayaran ansuran pinjaman bagi rumah didiami keluarga. 

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN