KUALA LUMPUR: Penumpang dua buah gerabak monorel yang menuju ke KL Sentra berdepan detik cemas selepas ia terbakar di Stesen Maharajalela, dekat sini hari ini.
Semua penumpang yang berada dalam gerabak itu bagaimanapun dapat menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba ke tempat kejadian.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohammad Iqbal Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 7.27 pagi.
“Susulan itu, lima jentera bersama 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Pudu ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, terdapat kebakaran membabitkan sebuah gerabak monorel berkenaan.
“Kerja-kerja memadam api dilakukan dan mengambil masa kira-kira 50 minit. Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE