MUAR: Masjid Al-Istiqomah di Parit Mislam, Sri Menanti di sini ditutup kepada orang awam susulan penularan Covid-19.
Perkara itu disahkan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia.
“Ya, masjid ini ditutup,” katanya.
Bagaimanapun, masjid itu dibuka kepada empat jemaah bagi tujuan mendirikan solat sehinggalah satu tarikh dimaklumkan kelak.
Dalam pada itu, Kadi Daerah Muar, Mohamad Khalil Md. Noor berkata, pihaknya telah meneliti jadual kehadiran guru takmir selepas dimaklumkan petugas kesihatan daerah mengenai status penceramah itu.
“Pada Isnin lalu saya dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Muar berhubung status seorang guru takmir Muar yang positif Covid-19.
“Laporan Kementerian Kesihatan menyatakan, ustaz ini telah hadir ke tiga masjid dan dua surau di Muar bagi menyampaikan kuliah Maghrib.
“Pejabat Kadi turut meneliti beberapa lokasi lain melibatkan kehadiran ustaz ini yang menyampaikan ceramah berdasarkan tuntutan elaun mengajar takmir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua masjid dan surau terlibat telah menjalankan sanitasi semalam sebelum dijangka dibuka kepada orang awam bermula hari ini.
“Bagaimanapun, Masjid Al-Istiqomah, Parit Mislam di Sri Menanti kekal tutup sehingga tarikh diberitahu kelak,” katanya. – UTUSAN