China siasat Kumpulan Alibaba - Utusan Malaysia

China siasat Kumpulan Alibaba

KUMPULAN Alibaba. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: China telah menjalankan siasatan anti monopoli terhadap Kumpulan Alibaba. Pihak berkuasa China juga akan berjumpa dengan syarikat teknologi bersekutunya, Kumpulan Ant, dalam beberapa hari lagi.

Siasatan itu adalah sebahagian daripada tindakan pihak berkuasa untuk menghentikan tingkah laku monopoli ruang internet di China yang sedang berkembang pesat.

Ia merupakan masalah baharu buat Jack Ma, bekas guru sekolah berusia 56 tahun yang merupakan pengasas Alibaba dan kini usahawan terkenal di China.

“Pihak kami telah menjalankan siasatan terhadap perbuatan itu. Pengawal selia kewa­ngan juga akan bertemu dengan sekutu Alibaba iaitu Kumpulan Ant,” jelas Pihak Penyelia Pentadbiran Pasaran (SAMR) China dalam satu kenyataan.

JACK MA

Pertemuan itu katanya, akan membimbing Kumpulan Ant untuk melaksanakan pengawasan kewangan, persaingan yang adil serta melindungi hak dan kepentingan pengguna.

Pihak Ant memberitahu, mereka telah menerima notis daripada pengawal selia dan akan mematuhi semua syarat dan arahan yang diberikan.

Alibaba juga berkata, pihaknya akan memberi kerjasama dalam siasatan itu dan operasi syarikat akan berjalan seperti biasa.

Susulan penangguhan rancangan penawaran awam China yang bernilai AS$37 bilion (RM150.27 bilion) terhadap syarikat Ant, ia merupakan penawaran yang terbesar di dunia dua hari sebelum saham mula didagangkan di bursa Shanghai dan Hong Kong.

Menurut laporan akhbar terbesar di China, People’s Daily, jika monopoli dibenarkan, syarikat boleh mengembang dalam kea­daan yang tidak teratur dan aneh. Industri juga tidak akan memba­ngun dengan sihat dan mampan.

Sementara itu, saham Alibaba turun sebanyak sembilan peratus di Hong Kong semalam.

Ketua Kumpulan Capital Primavera berpendapat, pasaran global akan memerhati dengan teliti untuk melihat sama ada langkah itu bermotifkan politik atau penguatkuasaan undang-undang yang tidak memihak kepada sesiapa.

“Apakah pengawal selia ha­nya menyasarkan sektor swasta dan bukan negeri yang monopoli? Ia akan menjadi satu tragedi jika undang-undang anti monopoli dilihat sebagai hanya menyasarkan syarikat teknologi swasta yang berjaya,” katanya.

Bulan lalu, Beijing mengeluarkan peraturan untuk mencegah tingkah laku mono­poli oleh syarikat internet.

Politburo milik China, telah berikrar untuk memperjuangkan usaha anti monopoli pada tahun hadapan dan mengawal perkembangan pasaran kewa­ngan yang tidak teratur.

Kerajaan China juga memberi amaran kepada syarikat internet yang besar bahawa mereka tidak akan bertolak ansur kepada sesiapa yang mengamalkan monopoli.

Mereka juga akan mengenakan denda dan akan melakukan siasatan ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan kes Alibaba dan Tencent Holdings.

“Persaingan yang adil merupakan faktor penting dalam pasaran ekonomi, sementara monopoli mengganggu peruntukkan sumber, menghancurkan faedah pemain dalam pasaran dan pengguna serta membunuh kemajuan teknologi.

“Sektor internet di China mendapat sokongan dan manfaat daripada pemerintahnya untuk inovasi baharu, jadi mereka haruslah mematuhi peraturan dan undang-undang,” lapor People’s Daily. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya