Baru-baru ini, beberapa media melaporkan tentang serbuan oleh pihak berkuasa terhadap sebuah premis makanan terkenal yang dikatakan menyajikan makanan dicampur daging babi kepada pelanggan. Ia susulan video pendek yang tular dalam media sosial tentang makanan tersebut. Berita berkenaan mendapat perhatian pengguna bukan hanya kerana nama restoran yang popular, malah premis mereka turut disahkan mempunyai persijilan halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Serentak itu juga, terdapat pengguna Muslim mula menimbulkan keraguan tentang keabsahan status halal premis-premis makanan yang menggunakan logo halal badan berautoriti khususnya premis dimiliki oleh orang bukan Islam. Ia turut mengundang reaksi panik dan marah sebahagian warga maya khususnya yang beragama Islam terhadap premis berkenaan dan pihak berkuasa agama.
Namun, apabila diteliti, serbuan dilakukan adalah prosedur biasa pihak berkuasa. Berdasarkan aduan diterima, mereka memeriksa premis dan makanan tidak halal yang dimaksudkan. Hasil pemeriksaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Bahagian Hub Halal Jakim mengeluarkan kenyataan mengesahkan aduan yang diterima adalah tidak benar dan menegaskan premis tersebut masih pemegang sah Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Pengurusan premis makanan tersebut turut mengeluarkan kenyataan penafian dan komitmen mematuhi standard persjilan halal serta meneliti tindakan undang-undang terhadap pemfitnah.
COKLAT
Jika disorot ke belakang, kes fitnah ini bukanlah baharu. Mengimbau pada 2014, berlaku juga kejadian tular seperti itu melibatkan syarikat pembuatan coklat terkenal yang dikatakan mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam coklat keluaran mereka. Kes yang tular tersebut pada akhirnya juga dibuktikan sebaliknya, sedangkan syarikat terbabit mengalami kerugian besar. Oleh yang demikian, saya berpandangan, pengguna seharusnya lebih berhati-hati dalam mencetuskan isu halal dalam media sosial. Ini kerana tindakan sedemikian bukan sahaja mampu menyebabkan kerugian yang besar kepada syarikat perniagaan, malah boleh mencemar dan menghilangkan kredibiliti pihak berautoriti agama seperti Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam soal persijilan halal.
TABAYYUN
Bagaimanapun, satu sisi positif daripada isu tersebut adalah sensitiviti masyarakat Islam terhadap makanan halal dilihat masih tinggi. Sifat pengguna wajar dipuji dan dipandu dengan baik agar berlaku keseimbangan antara sensitiviti, tuntutan agama dan tabayyun (verifikasi maklumat) dalam melakukan tindakan tular berkaitan isu halal haram. Di samping itu, pengguna juga perlu bijak menilai premis dalam memilih makanan yang halal lagi baik. Justeru, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia umumnya yang mempunyai premis-premis makanan yang diusahakan oleh pengusaha makanan daripada pelbagai latar agama dan budaya, saya mencadangkan beberapa garis panduan dalam pemilihan premis makanan kepada pengguna Muslim:
Pertama, sekiranya premis tersebut diyakini milik Muslim sepenuhnya, kita boleh menilai dengan melihat keadaan kebersihan premis dan makanan yang dijual. Jika secara zahirnya kelihatan bersih dan diyakini suci tanpa unsur syubhat, kita boleh meneruskan tujuan untuk menikmati makanan di situ. Pendekatan ini selaras dengan hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya halal itu jelas dan haram itu jelas dan perkara yang berada antara halal dan haram itu adalah perkara syubhah yang tidak ramai manusia mengetahuinya.” (Bukhari dan Muslim)
Selebihnya, kita serahkan kepada Allah SWT untuk menilai tahap kebersihan dan kesucian yang tidak dapat dilihat secara zahir kerana kita tidak dituntut menilai sesuatu sampai ke tahap tersebut.
Kalau premis kelihatan kotor secara zahir, sebaiknya kita tinggalkan. Ini kerana Allah SWT telah memerintahkan kita memastikan makanan yang hendak dimakan adalah halal dan baik. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (al-Baqarah, 168)
Kedua, sekiranya premis diyakini milik bukan Islam, kita disarankan mencari logo pengesahan halal yang diiktiraf untuk mencapai keyakinan bagi makanan dijual. Jika tiada, sebaiknya ditinggalkan walaupun di situ terdapat pekerja Muslim dan suasana kelihatan bersih. Ini kerana penilaian halal bukan hanya melibatkan kaedah penyediaan tapi kebersihan dan kesucian dari ladang ke tangan pengguna. Dengan kata lain, rantaian halal melibatkan penggunaan bahan mentah hinggalah makanan disajikan di atas meja. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik, tidak menerima kecuali yang baik.” (Riwayat Muslim)
LEMAK KHINZIR
Pendekatan ini walaupun seolah-olah terdapat pilih kasih dalam penilaian terhadap premis milik orang Islam dan bukan Islam, hal tersebut adalah wajar kerana halal adalah tuntutan agama.
Pemilik premis perlu benar-benar faham dalam proses penyediaan makanan halal, bukan sekadar tanpa daging dan lemak khinzir juga alkohol. Oleh itu, pemilik premis bukan Islam perlu mendapatkan pengesahan badan berautoriti halal yang berkredibiliti lagi diyakini untuk memastikan premis mereka benar-benar menyajikan makanan halal dan bersih.
Ketiga, sekiranya terdapat kegusaran hati atau keraguan terhadap premis atau makanan yang dijual, sebaiknya kita mencari jalan untuk meninggalkannya kerana sabda Rasulullah SAW:
“Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan.” (Riwayat al-Tirmizi). Pendekatan ketiga ini begitu baik sebagai langkah berhati-hati dan dapat menjaga sifat warak.
Begitulah sedikit panduan umum yang dicadangkan kepada pengguna Muslim untuk membuat pemilihan terhadap premis dan makanan dijual. Malah di zaman revolusi teknologi maklumat ini, status halal premis dan makanan boleh disemak menerusi portal Halal Malaysia, www.halal.gov.my atau aplikasi telefon pintar SmartHalal. Justeru, marilah kita terus menjadi masyarakat yang sensitif tentang status halal makanan seharian kita dan pada masa sama tidak menzalimi mana-mana pihak akibat tersilap dalam membuat penilaian dan penularan maklumat palsu.
DR. Muhd. Imran Abd. Razak ialah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.










