Beratus pokok bakau mati - Utusan Malaysia

Beratus pokok bakau mati

HARIS menunjukkan pokok bakau yang mati dipercayai akibat tumpahan minyak yang berlaku dua bulan lalu di Pantai Cermin, Port Dickson, Negeri Sembilan.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Beratus pokok dan anak pokok bakau di Pantai Cermin, dekat sini mati dan rosak dipercayai kesan daripada kejadian tumpahan minyak di pantai itu kira-kira dua bulan lalu.

Wakil Persatuan Pencinta Alam (Malaysia Nature Society) Negeri Sembilan dan Melaka, yang hanya mahu dikenali sebagai Haris mendakwa, tinjauannya sejak semalam ke pantai berkenaan mendapati beratus pokok bakau rosak akibat kesan minyak yang masih melekat pada pokok.

“Saya datang ke sini sejak semalam selepas sekian lama mendapat berita yang kebanyakan pokok sudah mati. Saya datang tengok sendiri dan hendak pantau keadaan, memang jelas nampak banyak pokok dah mati, asalnya nampak peluang untuk hidup tapi mungkin selepas sekian lama kebanyakan pokok ini sudah mati.

“Ada juga pokok tak akan tahan lama dan daun sudah mula gugur. Jadi, kita nampak akibat tumpahan minyak ini bukan perkara jangka masa pendek, impaknya pada jangka masa panjang. Ada kemungkinan semua pokok ini akan mati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pantai Cermin, semalam.

Pada 12 Oktober lalu, Pantai Cermin di Batu 10 dekat sini ditutup selama dua minggu kepada orang awam bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan.

Tumpahan minyak sepanjang tiga kilometer itu disedari orang ramai selepas mendakwa menghidu bau minyak yang kuat dari arah pantai.
Sebanyak 10 agensi terbabit dalam aktiviti pembersihan selama lebih seminggu manakala pantai berkenaan turut ditutup daripada orang ramai sepanjang tempoh pembersihan dilakukan.
Sementara itu, Haris berkata, usia pokok bakau berkenaan yang rosak juga dianggarkan hampir 40 tahun yang mana jika pulih mengambil masa yang agak lama.

“Lebih-lebih lagi tanah ini sudah tercemar dengan minyak. Kami harapkan semua pihak dapat mewujudkan kesedaran kepada orang awam termasuk pihak industri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan untuk penanaman semula dan membuat tapak semaian pokok bakau.

“Kami akan mengadakan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan selain mengharapkan orang awam lebih prihatin terhadap alam sekitar. Jika dilihat sekarang, tiada lagi hidupan laut seperti ketam dan udang kerana kawasan ini telah dicemari,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN