Bayi 10 hari antara 46 warga asing ditahan di rumah kongsi Kampung Semaut - Utusan Malaysia

Bayi 10 hari antara 46 warga asing ditahan di rumah kongsi Kampung Semaut

SERAMAI 46 warga Indonesia termasuk bayi berusia 10 hari hingga tiga bulan antara yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Pahang di rumah kongsi Kampung Semaut di Genting Highlands, Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Tiga bayi berusia 10 hari hingga tiga bulan antara 46 pendatang asing warganegara Indonesia yang ditahan dalam operasi khas Imigresen Pahang di rumah kongsi Kampung Semaut, Genting Hinglands di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Muhammad Hatta Kassim berkata, seramai 47 pegawai dengan sokongan Pasukan Gerak Am (PGA) menjalankan operasi khas sempena hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan berkenaan.

Katanya, lokasi yang curam menyukarkan anggota jabatan itu menahan semua penghuni yang mana lebih lima orang melarikan diri menerusi laluan air ketika serbuan dilakukan kira-kira pukul 9.15 pagi. 

“Selain yang sempat melarikan dalam serbuan itu, kemungkinan ada menyusup keluar sebelum operasi Imigresen dijalankan.

“Dalam operasi ini, seramai 19 lelaki, 22 perempuan, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan tersebut.

Mengulas lanjut, Muhammad Hatta berkata, seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana tiada dokumen yang sah di bawah Seksyen 6 (1)( C ) Akta Imigresen 1959/63. 

Katanya, 11 orang pula ditahan kerana tinggal lebih masa dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(c ) Akta Imigresen.

“Dua ditahan kerana melanggar syarat pas di bawah peraturan 39 (B) Peraturan Imigresen 1963. Pemilik premis  dipanggil dan disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan warga asing berada di premis miliknya,” katanya. 

Jelasnya, warga asing yang ditahan adalah pekerja dalam pelbagai sektor di Genting Highlands seperti buruh, pekerja kedai makan dan di industri pelancongan di situ.

“PATI terbabit menduduki kira-kira 70 bilik rumah kongsi di kampung berkenaan,” katanya. 

Menurutnya, semua tahanan dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen di Triang, Bera. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN