ANULAE gesa tangguh dua pekeliling  - Utusan Malaysia

ANULAE gesa tangguh dua pekeliling 

AZIH MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) akan berjumpa Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi membincangkan penangguhan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 dan 7 Tahun 2020 yang disifatkan berat sebelah. 

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya kecewa kerana kedua-dua pekeliling yang dikuatkuasakan 1 Januari itu dikeluarkan tanpa melibatkan rundingan secara bersama dengan kesatuan-kesatuan sekerja. 

Katanya, pekeliling itu adalah hasil yang dikehendaki Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semata-mata dan  menafikan hak-hak pekerja sekali gus bertentangan dengan dasar ‘tripartite’ iaitu rundingan melibatkan tiga pihak. 

“Kami berasa kecewa kerana dua Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 dan 7 Tahun 2020 tidak dirundingkan bersama ahli-ahli Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) Am, Sains dan Teknologi serta Pengurusan dan Profesional. 

“Apa yang terkandung dalam pekeliling itu adalah hasil sebelah pihak yang dikehendaki oleh JPA sahaja dan bukan merangkumi pihak pekerja.Jjadi ANULAE bersama Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan berjumpa Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan ANULAE Kali Ke-27 yang dirasmikan secara maya oleh Muhyiddin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini. 

Sementara itu, Azih turut menyentuh mengenai soal Pegawai Peminjaman yang dimansuhkan di dalam pekeliling tersebut. 

“Sebagai contoh, sejak 50-an Pegawai Peminjaman atau pertukaran sementara di MBK telah ditempatkan namun dalam pekeliling itu ia dimansuhkan dan digantikan dengan pelepasan khas hari bekerja sebanyak satu hari sebulan kepada pengerusi dan setiausaha pihak pekerja. 

“Kalau kita nak mewujudkan kolaborasi yang baik antara majikan dan pekerja, sudah tentu kepemimpinan kerajaan menerusi JPA ini perlu mengadaptasi semangat perlindungan bersama, kalau ia tidak berlaku maka hasilnya akan menjadi berat sebelah,” katanya. 

Beliau turut menyifatkan JPA seperti ingin mengenepikan MBK sedangkan majlis itu ditubuhkan atas hasil gabungan kesatuan-kesatuan sekerja untuk membentuk hak kesamarataan kedua-dua pihak. 

 “Kami juga melihat bahawa budaya pengiktirafan sudah tidak berlaku, jadi kami akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk menarik balik kedua-dua pekeliling ini dan digantikan dengan yang baharu selepas rundingan bersama,” katanya.

Terdahulu, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2020 menyatakan penambahbaikan terhadap dasar hubungan majikan-pekerja dalam perkhidmatan awam berkaitan mesyuarat MBK, manakala Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 berkaitan mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ). – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya