KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri diminta mewujudkan kawasan mesra berniaga sekali gus mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan dan Kedah yang membenarkan golongan peniaga dan penjaja membuka perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan bersesuaian.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Ahmad Izani Ab. Ghani berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan mahu pun yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjana kembali pendapatan mereka.
“Kita mencadangkan agar semua individu yang berhasrat berniaga memohon permit perniagaan sementara secara bulanan dengan caj sebanyak RM5 daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Apa yang penting, peniaga perlu mematuhi syarat umum seperti tidak meninggalkan barangan niaga dan sentiasa memastikan kebersihan, pemilihan lokasi yang selamat di samping tidak menganggu lalu-lintas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai bermula hari ini menerusi skim Wilayah Bebas Berniaga (WBB).
Dalam perkembangan lain, Ahmad Izani berharap agar kerajaan negeri dapat melaksanakan penangguhan bayaran sewa premis kepada peniaga, penjaja dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bermula bulan ini sehingga Mac 2021 dalam meringankan beban golongan tersebut.
Katanya, inisiatif sama t dilakukan oleh beberapa kerajaan negeri lain dan wajar dipertimbangkan Terengganu dalam suasana ketidaktentuan pasaran perniagaan masa kini serta akan datang. – UTUSAN ONLINE