Suami isteri didakwa tipu pelaburan  - Utusan Malaysia

Suami isteri didakwa tipu pelaburan 

CHAI Koon Shong (kanan) dan Ng Kah Lai keluar dari bangunan mahkamah selepas didakwa atas tiga pertuduhan penipuan berkaitan pelaburan di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan penipuan berkaitan pelaburan berjumlah RM12,867.30 tahun lalu.

Chai Koon Shong, 44, dan isteri, Ng Kah Lai, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Mengikut pertuduhan pertama yang dibacakan bersama, pasangan berkenaan didakwa menipu Hoi Kim Than, 58, dengan menawarkan pulangan pelaburan Bancus Coint yang tinggi sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM4,366.50 ke dalam akaun syarikat tertuduh melalui RHB Bank Cawangan Menglembu, Ipoh pada pukul 1.45 petang, 14 November 2019.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa atas dua tuduhan sama iaitu menipu Leong Mei lai, 44, membabitkan wang masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,500.80 di Public Bank Cawangan Jalan Besar Pasir Puteh dan Jalan Pasir Puteh, Taman Pengkalan Jaya di Ipoh antara pukul 1.34 hingga 1.48 petang, 1 Mei 2019.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Hajar Mohd. Yusof manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, M. Mahendra.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN