KUALA LANGAT: Hanya seorang positif dalam ujian saringan Covid-19 menerusi pemeriksaan pintu ke pintu di kawasan Flat Sungai Emas dan perumahan teres Taman Sungai Emas di sini yang terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco).
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Kuala Langat, Mohd. Jusni Hashim berkata, menerusi pemeriksaan itu, pihaknya melakukan saringan terhadap 44 individu dan daripada jumlah tersebut seorang individu sahaja yang positif.
“Secara keseluruhannya, daripada 1,300 penduduk di kawasan ini, kita membuat saringan ke atas 1,024 individu sejak 18 Oktober lalu dan seramai 43 dilaporkan positif.
“Hanya berlaku satu penambahan sepanjang pelaksanaan Temco dilaksanakan dan kesemua mereka yang positif kini pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Flat Sungai Emas di sini hari ini.
Terdahulu, Temco di Flat Sungai Emas dan Jalan Emas 31 dan 32, Taman Sungai Emas di sini dengan keluasan 5.9 hektar dilaksanakan bermula 28 Oktober sehingga 10 November ini.
Pelaksanaan Temco berikutan Kluster Bah Manggis yang dikesan pada 5 Oktober lalu menyumbang kepada 65 kes positif iaitu 63 daripadanya di kesan di Kuala Langat yang mana 42 dikesan di kawasan flat tersebut.
Bagaimanapun, siasatan mendapati terdapat kira-kira 200 individu masih belum menjalani ujian saringan Covid-19.
Dalam pada itu, Mohd. Jusni yang juga merupakan Pegawai Daerah Kuala Langat berkata, walaupun hanya 44 daripada 200 individu yang disasarkan melakukan ujian saringan, pihaknya meneruskan pemantauan di setiap kediaman kawasan tersebut.
“Apabila kita melakukan pemeriksaan pintu ke pintu, kita dapati sebanyak 67 rumah kosong sama ada mereka keluar terlebih dahulu atau memang tidak diduduki.
“Bagaimanapun, sepanjang pelaksanaan Temco, penduduk memberi kerjasama sepenuhnya dan keperluan mendapatkan barangan harian juga mudah kerana terdapat gerai bergerak disediakan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










