SEGAMAT: Seorang lelaki warga Bangladesh maut, dua rakannya cedera ditikam dan dibaling batu dalam pergaduhan dua kumpulan di tapak pembinaan Taman Kenari, Bukit Siput di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 10.40 malam itu, mangsa meninggal dunia berusia 44 tahun akibat cedera parah dilanggar sebuah kereta Proton Gen 2.
Rakannya yang berusia 30 tahun pula cedera parah selepas ditikam menggunakan pisau pemotong sayur manakala seorang lagi mangsa berusia 40-an cedera kepala.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebelum kejadian, mangsa yang ditikam dikatakan menegur suspek yang sedang bercakap menggunakan telefon bimbit dengan kuat.
Menurut beliau, mangsa mendakwa perbuatan suspek menganggunya dan rakan lain yang sedang tidur di rumah kongsi terbabit.
“Berang dengan tindakan mangsa, suspek bertindak memanggil rakan-rakannya warganegara Indonesia untuk menyerang kumpulan warga Bangladesh terbabit.
“Dalam pergaduhan itu, seorang mangsa mati dilanggar, seorang cedera ditikam menggunakan pisau pemotong sayur manakala seorang lagi cedera di kepala akibat dibaling batu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Unit K9, Bukit Siput di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat.
Ayob Khan berkata, susulan kejadian itu, polis menahan lapan suspek terdiri daripada tujuh lelaki Indonesia dan seorang warga Myanmar berusia antara 29 hingga 35 tahun.
Ujarnya, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.
“Polis masih memburu seorang lagi suspek utama dalam kes ini iaitu lelaki warganegara Indonesia yang dikenali sebagai Amir berusia 25 tahun, tinggi lebih kurang 165 sentimeter (cm) dan berkulit sawo matang,” katanya.
Jelas Ayob Khan, kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang diburu atau berkaitan kes ini boleh menghubungi pengawai penyiasat Asisten Superintenden Norisyah Abd. Rahim menerusi talian 0196507299 atau 079312222. – UTUSAN ONLINE