KUALA LUMPUR: Sejumlah RM11.1 bilion disediakan pada tahun depan iaitu tambahan RM3.1 bilion untuk menyokong pembangunan bumiputera bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum.
Daripada jumlah tersebut, antaranya sejumlah RM6.5 bilion diperuntukkan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Jumlah itu bagi menjalankan program khusus termasuk pendigitalan pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta menaik taraf program peringkat sijil ke diploma.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi melonjak dan memperkasa usahawan bumiputera pula, sejumlah RM4.6 bilion disediakan.
Beliau berkata, peruntukan itu bagi tujuan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro bumiputera melalui Tekun dan PUNS sejumlah RM510 juta manakala RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia serta SME Bank.
“Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP dan RM1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk golongan berkenaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu,Tengku Zafrul berkaa, Pelaburan Hartanah Berhad atau PHB telah berjaya membangunkan hospital swasta bernilai RM300 juta di atas tanah rizab Melayu di Sungai Penchala.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan berhasrat terus mengoptimumkan nilai tanah rizab Melayu di kawasan-kawasan strategik dan bagi tujuan berkenaan, sejumlah RM750 juta disediakan kepada PHB di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Katanya, peruntukan berkenaan bagi meningkatkan nilai pegangan bumiputera dalam sektor hartanah terutama bagi pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu. – UTUSAN ONLINE