Rasuah: Tiga bekas pembantu penguat kuasa SPAD mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Rasuah: Tiga bekas pembantu penguat kuasa SPAD mengaku tidak bersalah

SYED Ammar Syamim Syed Agail (dari depan, kanan), Mohd. Shahril Sapiain dan Mohd. Faiz Ahdon diiringi pegawai polis di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas dakwaan meminta serta menerima rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pembantu penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menitiskan air mata apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 11 pertuduhan rasuah melibatkan jumlah RM5,940, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Faiz Ahdon, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Rozilah Salleh oleh jurubahasa mahkamah.

Mohd. Faiz turut didakwa dengan dua pertuduhan bersama dengan dua lagi rakannya yang juga pembantu penguat kuasa iaitu Syed Ammar Syamim Syed Agail, 34, dan Mohd. Shahril Sapiain, 39, yang juga membuat pengakuan tidak bersalah.

Mengikut 11 pertuduhan, Mohd. Faiz yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing didakwa menerima RM5,940 daripada pemandu teksi sapu, Chong Chung Kwee, 57, sebagai dorongan tidak membocorkan maklumat operasi SPAD.

Ia juga sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Chung Kwee dan lima rakannya Lim Chiam Hee, Soo Mun Kit dan Yap Chee Hong yang masing-masing berusia 56 tahun, Tay Kin Thong,70, serta Chua Kooi Chean, 58.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Mohd. Faiz didakwa melakukannya di CIMB Bank Cawangan Bandar Puteri Puchong dan Bank Simpanan Nasional (BSN) Bandar Baru Bangi pada 11 Januari hingga 15 Mac 2016.

Bagi dua pertuduhan bersama pula, Mohd. Faiz dan Syed Ammar Syamim serta Mohd. Shahril didakwa meminta dan menerima rasuah bernilai RM720 daripada individu yang sama bagi tujuan sama.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Restoran Shahnaz Maju Nasi Kandar di Cyber 6, Sepang dekat sini antara pukul 1.30 hingga 2.30 pagi pada Februari 2016.

Bagi kesemua pertuduhan itu, ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima ganda dan RM10,000 mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM10,000 untuk 11 pertuduhan dihadapi Mohd. Faiz bersama seorang penjamin manakala RM8,000 bagi dua pertuduhan bersama dihadapi ketiga-tiga tertuduh dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan sehingga selesai kes.

Peguam Ridha Abdah Subri mewakili Mohd. Faiz memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM500 untuk setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan purata RM1,800 sebulan dan perlu menjaga isterinya yang menghidap penyakit payu dara kiri tahap empat selain tidak pernah gagal melaporkan diri.

Syed Ammar dan Mohd. Shahril yang tidak diwakili peguam turut meminta pertimbangan mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM2,000 dan RM2,500 sahaja.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 untuk 13 pertuduhan dihadapi Mohd. Faiz sementara Syed Ammar yang bekerja sebagai pemandu lori dan Mohd. Shahril tidak bekerja dibenarkan ikat jamin masing-masing RM2,000 selain membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 14 Disember ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya