Ramai sangat ‘Datuk’ Melaka - Utusan Malaysia

Ramai sangat ‘Datuk’ Melaka

Ramai yang hairan kenapa dan bagaimana anugerah `Datuk' di Melaka terlalu ramai pada setiap tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemberian lebih 250 anugerah membawa gelaran Datuk Seri, Datuk Wira dan Datuk sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka, baru-baru ini seperti tidak masuk akal.

Setiap tahun perkara tersebut sudah menjadi `kebiasaan’ namun kali ini timbul persoalan sejauh mana pengiktirafan itu dinilai apabila adakalanya anugerah diberikan kepada individu tidak dikenali masyarakat mahupun sumbangan mereka kepada negara.

Mengakui perkara itu kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah berkata, anugerah yang suatu masa dahulu dilihat `berharga’ kini menjadi tidak `bermakna’ susulan ada individu yang tiada ketokohan serta sumbangan kepada negara atau negeri turut menerima pelbagai gelaran.

Menurut beliau, pemberian Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk misalnya terlalu ramai iaitu sehingga 214 individu yang sekali gus dilihat kurang memberi kredibiliti serta tidak masuk akal.

“Penerima anugerah mestilah dalam kalangan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing atau pernah mengharumkan negara, membantu dan memperjuangkan pelbagai isu serta kebajikan rakyat.

“Malah, tidak logik apabila anugerah diberikan secara mudah khususnya kepada usahawan, peniaga, proksi politik, pelobi dan juga orang politik yang masih baru setahun jagung dalam landskap politik,” katanya di sini baru-baru ini.

Baru-baru ini tular di media sosial senarai penerima dianugerahkan DPSM yang rata-ratanya mempersoalkan sumbangan dan jasa mereka terhadap negeri ini mahupun negara apabila ramai mengakui ‘tidak kenal’ dengan individu-individu terbabit.

DPSM yang diiringi selempang dan lencana darjah mula dikurniakan pada 2010 kepada orang perseorangan yang memberi perkhidmatan terpuji kepada Melaka dan negara.

Selain itu, kata Anwar Fahmi, adalam dalam kalangan individu bergelar Datuk tidak fasih bertutur Bahasa Melayu dan kurang berpengetahuan mengenai isu atau masalah rakyat.

Kata beliau, golongan muda dan masyarakat di negara ini akan terus memandang negatif terhadap nilai dan darjah diperolehi individu berkaitan sekiranya amalan itu tidak dibendung dan disaring ketat.

Justeru, jelas beliau, pihak berkaitan wajar melihat kembali siapa ‘urusetia khas’ yang menyaring senarai nama calon yang dicadangkan untuk diberikan gelaran dan pengiktirafan tersebut.

“Para pembesar boleh menukar jawatan kuasa terbabit pada setiap dua tahun atau lebih kerap bagi mengelak wujud amalan sedemikian,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×