Projek naik taraf untuk keselamatan - Utusan Malaysia

Projek naik taraf untuk keselamatan

Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan, Seremban yang kini dalam proses pengubahsuaian di bahagian ruang solat utama. – UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Projek pengubahsuaian dan naik taraf Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan dekat sini menimbulkan pertikaian antara dua pihak.

Di pihak pengurusan masjid, kerja-kerja penambahbaikan itu terutama di ruang solat utama adalah penting demi keselamatan dan keselesaan jemaah manakala di pihak yang mengambil berat hal sejarah dan warisan projek tersebut bimbang ia akan menghapuskan nilai-nilai warisan pada reka bentuk masjid yang mengikut sejarahnya telah dibina pada tahun 1840.

Bagi pengerusi masjid berke­naan, Badruddin Md Taha, 61, pengubahsuaian itu dilakukan selepas mengambil kira keadaan atap dan bumbung yang sudah uzur termasuk sering mengalami kebocoran malah ada bahagian kayunya yang telah dimakan anai-anai.

Katanya, keadaan tersebut akan mengundang risiko bumbung masjid akan runtuh dan atas sebab itu pihaknya meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengambil langkah menaiktaraf bangunan tersebut.
“JHEAINS yang merupakan pemilik bangunan masjid telah membawa hal itu kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan selepas kajian dibuat, pihak JKR memaklumkan bahawa masjid ini sudah tidak selamat digunakan dan perlu dibaik pulih.

“Kali terakhir masjid ini dibaik pulih adalah pada 12 Februari 1928, dindingnya pun sudah macam serbuk, bumbung sudah bocor, apabila sembahyang dan hujan lebat, banyak besen daripada jemaah, jadi takkan kita perlu biarkan sahaja” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Badruddin, projek pengubahsuaian tersebut tidak mengubah apa-apa identiti masjid berkenaan apatah lagi untuk merobohkan struktur asalnya.

“Kami faham, antara bahagian yang paling beberapa pihak sayang adalah khat yang ada di dinding ruang solat masjid ini, dalam lakaran reka bentuk baharu, khat ini terpaksa ditanggalkan untuk memberi ruang kepada pemasangan pendingin hawa supaya memberi lebih keselesaan kepada jemaah.

“Namun JKR ada memberi pandangan supaya khat yang bersejarah dijadikan dalam bentuk plak yang besar dan kemudian diletakkan di bahagian dinding yang lain sebagai mengenang nilai warisannya. Malah pihak pengurusan juga akan mendokumentasi segala nilai sejarah yang ada pada masjid ini sebagai sumber rujukan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha masjid, Zarir Yahya, 53, pula berkata, sejak kelulusan pengubahsuaian diberikan pada bulan Ogos lalu, pihak masjid telah mula mengumpulkan dana dan sehingga kini ia telah berjaya mengumpul lebih RM1 juta daripada RM2 juta yang diperlukan untuk keseluruhan projek yang turut melibatkan fasa dua termasuk pembinaan bilik kuliah.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya