KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula hari ini sehingga 6 Disember depan benar-benar memberi kesan kepada 32 juta rakyat Malaysia.
Walaupun hanya empat minggu dan tidak melibatkan Perlis, Pahang dan Kelantan, pelaksanaan tersebut memberi impak besar dan berpanjangan kepada pelbagai sektor seperti pembangunan, ekonomi, perkhidmatan dan pendidikan.
Hampir semua mengeluh dengan pengumuman tersebut yang dilihat akan menutup ‘periuk nasi’ dan ‘mengikat’ aktiviti mereka terutamanya yang bekerja dalam sektor swasta.
Paling terjejas sektor pengangkutan yang bakal lumpuh terutama melibatkan perkhidmatan bas ekspres dan teksi.
Pengusaha perkhidmatan berkenaan dijangka kehilangan 90 peratus pendapatan susulan sekatan rentas daerah termasuk negeri.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa), Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, nasib pengusaha bas ekspres bagai terpinggir apabila pembentangan Belanjawan 2021 tidak menawarkan inisiatif tepat kepada kumpulan tersebut.
“Tawaran pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas pasang siap dalam negara tidak tepat.
“Bas yang ada pun tak jalan bagaimana mahu beli bas baharu? Jumlah perjalanan pula terpaksa dikurangkan lebih banyak. Kini yang tinggal satu perjalanan pagi satu perjalanan malam.
“Malah, penumpang memang sangat kurang tapi sewa terminal perlu dibayar.Itu belum lagi hutang lain yang tidak boleh ditangguhkan di bawah pinjaman syarikat kredit komuniti,” katanya dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Golongan pekerja hotel yang baru mahu bernafas semula pula semakin risau mengenai nasib dan masa depan mereka yang mungkin hilang kerja atau dipotong gaji.
Ia ekoran semakin ramai pelanggan terpaksa membatalkan tempahan hotel-hotel di pusat peranginan mahupun di pusat bandar kerana larangan rentas daerah.
Pengalaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama empat bulan sejak 18 Mac lalu, telah `menyeksa’ mereka kerana dalam tempoh tersebut ramai yang `direhatkan’, dibuang dan ada yang dipotong gaji.
Selain individu dibehentikan kerja akibat kerugian ditanggung syarikat kerana Covid-19, peniaga juga tidak terkecuali menerima tempias.
Presiden Gabungan Persatuan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pengumuman PKPB sekali lagi semestinya memberi kesan lebih teruk berbanding sebelum ini.
Malah, kata beliau, kali ini akan lebih ‘tenat’ buat peniaga dan tiada jalan penyelesaian boleh difikirkan setakat ini.
““Kita semua baru nak tarik nafas lega sejak dua bulan lepas, tapi bila dah dilaksana PKPB sebulan, memang keadaan dah jadi tenat balik. Ia memang sukar untuk menjual barangan baik di tepi jalan mahupun di pusat beli-belah.
“Niaga memang tiada untung, kerajaan pula nak beri pinjaman untuk perniagaan? Macam mana nak bayar balik sedangkan untung pun tak ada?,” keluhnya kepada Utusan Malaysia.
Pelaksanaan PKPB turut memberi kesan kepada institusi pendidikan apabila Kementerian Pendidikan turut mengumumkan penutupan semua institusi pendidikan di seluruh negara.
Susulan itu, kementerian tersebut terpaksa mengubah takwim persekolahan 2020 dan 2021 sekali gus memberi tekanan emosi dan mental kepada pelajar termasuk kakitangan akademik.
Kira-kira lima juta murid, pelajar sekolah dan institusi pendidikan di bawah kendalian kerajaan tidak akan ke sekolah bermula hari ini sehingga sesi persekolahan tahun ini berakhir 17 Disember (bagi negeri-negeri kumpulan A) dan 18 Disember (bagi negeri-negeri kumpulan B).
Pengumuman tersebut turut melibatkan lebih 500,000 guru, pensyarah dan warga kementerian.
Perkara tersebut memberi kesan emosi kepada calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang kedua-kedua peperiksaan tersebut ditangguhkan masing-masing ke bulan Februari dan Mac tahun depan.
Susulan itu, ramai berpendapat kualiti pendidikan dan peperiksaan membabitkan pelajar semua tahan akan merosot kerana tempoh `berehat’ terlalu lama.
Proses pembelajaran secara dalam talian dipercayai tidak banyak membantu kerana terlalu banyak kekangan dari segi pemilikan komputer dan internet membabitkan guru dan pelajar.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, takwim persekolahan yang dipinda turut menjejaskan proses kemasukan pelajar tingkatan satu dan empat tahun depan.
Pihak sekolah akan terbeban kerana sukar untuk membuat urusan pengambilan pelajar selain menentukan aliran pengajian yang bersesuaian mengikut pencapaian.
“Kami bimbang pelaksanaan PKPB akan menyebabkanramai pelajar tidak dapat akses internet sewaktu di rumah untuk meneruskan proses pembelajaran,” ujarnya.
Menurut Mohd. Azizee, pihaknya baru mahu lega tetapi dikejutkan semula dengan pengumuman PKPB. – UTUSAN










