Peruntukan kesihatan tidak dikurangkan - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Peruntukan kesihatan tidak dikurangkan – Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2021 tidak dikurangkan seperti mana tohmahan sesetengah pihak, sebaliknya sejumlah RM31.9 bilion yang dikhususkan kepada Kementerian Kesihatan lebih tinggi dari RM30.6 bilion pada tahun lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, jumlah bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis sebanyak RM4.29 bilion telah diasingkan dan diperuntukkan di bawah butiran Program Khusus.

Katanya, ini termasuk Bekalan Perubatan Fasiliti Perubatan Kerajaan sebanyak RM2.89 bilion dan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat sebanyak RM1.4 bilion.

“Inilah sebabnya mengapa jumlah peruntukan di bawah butiran (Perubatan) menunjukkan ‘pengurangan’ daripada RM14.2 bilion (2020) kepada RM11.3 bilion (2021).

“Butiran ini mengandungi peruntukan bagi pelbagai bidang kepakaran kesihatan termasuk nefrologi dan farmasi. Hakikat yang sebenar tiada bidang kepakaran yang mengalami pengurangan peruntukan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM24 juta bagi menangani isu kesihatan mental melalui pengukuhan Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans.

Dari segi lain, katanya, kerajaan menyediakan RM420 juta untuk meningkatkan Rancangan Makanan Tambahan dengan bekalan susu setiap hari persekolahan demi manfaat murid dari keluarga berpendapatan rendah supaya anak-anak membesar dengan sihat, mendapat pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh.

“Seperti yang saya umumkan semalam, kerajaan memperuntukkan RM475 juta sebagai peruntukan tambahan untuk bekalan reagen dan bahan guna habis yang diperlukan berkaitan Covid-19; RM318 juta bagi penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) dan cecair pembasi kuman kepada petugas barisan hadapan kita.

“RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19; RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti serta menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan,” katanya.

Beliau menjelaskan, peruntukan tambahan itu tidak termasuk dalam peruntukan belanja mengurus yang terkandung di dalam Buku Anggaran Perbelanjaan kerana ia diperuntukkan secara berasingan di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Katanya, semua peruntukan di atas belum dikira lagi jumlah yang telah disalur tahun ini, yang mana kerajaan telah memperuntukkan RM1.8 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan kesihatan awam berkaitan Covid-19.

“Sekali lagi saya ingin menjelaskan, kerajaan tidak akan berkompromi di dalam usaha melindungi nyawa dan kesihatan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.