ISKANDAR PUTERI: Jumlah pelaburan di negeri ini sehingga kini menurun sebanyak RM5.74 bilion jika dibandingkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, penutupan sempadan antarabangsa memberi kesan langsung yang buruk terhadap sektor pelaburan negeri.
“Pandemik Covid-19 memberi kesan langsung terhadap sektor pelaburan negeri ini.
“Jumlah pelaburan yang diperoleh tahun ini menurun sebanyak RM5.74 bilion jika dibandingkan dengan jumlah diterima bagi tempoh sama pada 2019,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ee Chin Li (PH-Tangkak) yang bertanyakan nilai pelaburan masuk ke Johor sejak Januari sehingga sekarang.
Menurut Mohd. Izhar, Johor menerima pelaburan dalam sektor pengilangan berjumlah sebanyak RM 5.71 bilion sehingga September lalu.
“Daripada jumlah pelaburan tersebut, nilai pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk adalah sebanyak RM 3.39 bilion manakala pelaburan domestik pula adalah sebanyak RM2.32 bilion.
“Bagi sektor perkhidmatan, jumlah pelaburan adalah sebanyak RM401.98 juta yang mana ia melibat perkhidmatan hotel dan pelancongan serta sokongan perkhidmatan lain,” katanya.
Katanya, tahun lalu Johor mencatatkan nilai pelaburan sektor pembuatan dan pengilangan sebanyak RM11.455 billion.
“Nilai pelaburan asing bagi 2019 adalah sebanyak RM 6.538 bilion manakala pelaburan domestik adalah sebanyak RM 4.916 bilion,” katanya. – UTUSAN ONLINE