Peneroka, pekebun, nelayan dibantu - Utusan Malaysia

Peneroka, pekebun, nelayan dibantu

Pengambilalihan FGV dikatakan bakal membantu proses pemulihan Felda. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 juta untuk menghapus faedah hutang peneroka dan menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu.

Kerajaan juga meningkatkan sekali ganda Insentif Pengeluaran Getah daripada RM150 juta kepada RM300 juta bagi membantu pekebun kecil getah dalam berdepan keadaan harga pasaran rendah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul  Abdul Aziz berkata, pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian dapat distabilkan dengan kenaikan berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, sejumlah RM1.7 bilion disediakan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan antaranya subsidi harga padi sebanyak RM570 juta, subsidi dan insentif tanaman padi RM960 juta termasuk subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula sebanyak RM40 juta.

“Kesemua bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih 300,000 pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi bukit di Nabawan, Sabah dan Kanowit, Sarawak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, elaun sara hidup nelayan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan bermula tahun depan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau, lebih 40,000 nelayan menikmati bantuan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM151 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN