BALING: Dua penuntut universiti terpaksa memanjat pokok rambutan setinggi kira-kira lapan meter bagi mendapatkan capaian internet untuk menyertai kelas secara dalam talian di Kampung Tembak B, Kuala Ketil di sini.
Mereka ialah Mohammad Saiful Izwan Mohamad Hilmi, 21, dan Muhamad Fairul Ezuan Saidi, 21, yang masing-masing penuntut Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Sungai Petani dekat sini.
Kedua-dua sahabat itu memanjat pokok tersebut untuk memasang router WiFi bagi mendapatkan capaian internet lebih baik.
Menurut Mohammad Saiful Izwan, penduduk kampung di situ berdepan masalah capaian internet yang lemah sejak sekian lama.
“Keadaan ini menyukarkan saya untuk menghadiri pengajian secara dalam talian setelah pulang ke kampung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Capaian internet hanya lebih baik pada sebelah pagi, tetapi menjadi perlahan selepas pukul 3 petang sehingga lewat malam,” kata penuntut jurusan Pengajian Islam itu di sini semalam
Katanya, dia pernah cuba memasang router WiFi dengan menaiki bukit di belakang rumah untuk memuat naik atau menghantar kertas kerja sama ada berbentuk video atau dokumen tetapi masih tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya juga cuba memasang router di kandang kambing, juga di belakang rumah tetapi keadaan masih sama.
“Jalan terakhir adalah meletakkan router WiFi di atas pokok rambutan sejak Mei lalu hingga kini yang mana capaian internet agak memuaskan,” jelasnya.
Muhamad Fairul Ezuan pula berkata, dia sebelum ini berusaha mencari capaian internet yang kuat di halaman rumah, berdekatan jalan raya dan di atas bukit untuk menghantar video tugasan, kertas kerja serta menjawab peperiksaan dalam talian.
“Akhirnya, saya juga terpaksa meletakkan router di atas pokok rambutan bagi mendapatkan capaian internet lebih baik,” katanya, pelajar jurusan Pentadbiran Pejabat dan Teknologi.
Beberapa bulan lalu, tular kisah seorang gadis Sabah yang terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan talian internet bagi menjalani peperiksaan universiti.
Veveonah Mosibin pelajar Universiti Malaysia di Sabah itu pada mulanya membina pondok buluh di sebuah bukit sebagai persediaan untuk fokus menjawab peperiksaan namun pondok tersebut runtuh akibat hujan lebat.
Jalan terakhir, Veveonah terpaksa memanjat pokok bagi menjawab peperiksaannya. Kisahnya mencari talian internet tersebut kontroversi seketika apabila mendapat pelbagai reaksi termasuk ahli politik. – UTUSAN











