ARAU: Memandangkan kes penularan Covid-19 masih meningkat, perisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya sebaik-baiknya turut dilaksanakan bagi membatal serta menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan terbabit.
Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pelaksanaan darurat dalam keadaan seperti sekarang perlu dilihat sebagai solusi terbaik selagi proklamasi itu dibuat dengan pematuhan kehendak Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, melalui proklamasi darurat, perkara-perkara tertentu di bawah undang-undang boleh digantung atau ditunda seperti keperluan untuk mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari selepas berlaku kekosongan kerusi Ahli Dewan Rakyat atau DUN.
“Dalam isu Parlimen Gerik dan DUN Bugaya, Darurat boleh menjadi pilihan terbaik demi menjaga kesihatan rakyat. Ini kerana penularan pandemik Covid-19 semakin menunjukkan peningkatan. Kalau diadakan PRK akan mengundang risiko penularan sebagai mana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini.
“Tidak menjadi kesalahan pelaksanaan darurat yang bertujuan untuk kebaikan. Pelaksanaan darurat bukan hanya disebabkan berlaku peperangan sebaliknya untuk menggantung perkara-perkara tertentu di bawah peruntukan undang-undang demi kebaikan rakyat.
“Pilihan raya bukan sahaja membabitkan jumlah pengundi bahkan jentera besar meliputi petugas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), pekerja parti termasuk pemimpin parti yang berkempen buat calon masing-masing. Ia mengundang risiko penularan yang cukup tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, Sabah bagi menangguhkan PRK yang sepatutnya diadakan pada 5 Disember ini.
Keputusan dibuat bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat wabak Covid-19, selepas mendengar taklimat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut berpandangan, pengisytiharan darurat di Batu Sapi bagi membolehkan PRK kawasan itu ditangguhkan juga sewajarnya dipertimbang bagi PRK Parlimen Gerik dan PRK Bugaya.
Menurutnya, pengisytihatan darurat di kawasan yang sepatutnya mengadakan PRK adalah langkah terbaik bagi membendung pandemik Covid-19.
“Mengambil pengajaran selepas Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, saya fikir mungkin perkara yang sama boleh diadakan di Gerik, malahan juga di DUN Bugaya,” katanya selepas Pelancaran Program Projek Khas Tani Covid-19, di sini semalam.
Sementara itu, ditanya sama ada Bersatu berminat untuk meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Gerik, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, parti itu akan bekerjasama dengan UMNO dan Pas.
Ahli Parlimen Gerik dari Barisan Nasional (BN), Datuk Hasbullah Osman, 63, meninggal dunia di Raub akibat serangan jantung pada Isnin lalu.
Kerusi DUN Bugaya pula kosong berikutan kematian penyandangnya, Manis Muka Mohd. Darah pada 17 November lalu. – UTUSAN ONLINE










