SEREMBAN: Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan 2021 yang merupakan belanjawan defisit sebanyak RM112 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM560 juta berbanding anggaran hasil yang berjumlah RM448 juta.
“Ini menjadikan belanjawan bagi tahun 2021 ini adalah belanjawan defisit sebanyak RM112 juta. Sudah tiba masanya kerajaan negeri mengembalikan semula simpanan rizab yang ada kepada rakyat dalam bentuk inisiatif kebajikan, bantuan insentif dan program-program pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2021 bertema Melestari Ekonomi, Mensejahtera Rakyat pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini.
Menurut Aminuddin, mengambil suasana ekonomi global dan nasional, kerajaan negeri perlu bersifat realistik dalam menyediakan belanjawan 2021 termasuk mengambil kira semua indikator ekonomi domestik dan trajektori hasil.
“Sukacita saya mengumumkan anggaran hasil kerajaan negeri bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM448 juta iaitu pengurangan sebanyak RM9 juta ataupun 1.97 peratus berbanding Belanjawan tahun ini.
“Secara keseluruhannya, hasil bukan cukai kekal sebagai penyumbang utama hasil negeri iaitu sebanyak RM230.49 juta ataupun 51 peratus. Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding 2020 iaitu sebanyak RM9.63 juta atau 4.01 peratus,” katanya.
Tambah beliau, hasil cukai dijangka menyumbang sebanyak RM155.6 juta ataupun 35 peratus dengan peningkatan sebanyak 0.45 juta ataupun 0.29 peratus.
“Selain itu, kerajaan negeri dijangka memperoleh sebanyak RM61.91 juta atau 14 peratus daripada pelbagai penerimaan bukan hasil seperti bayaran balik pinjaman, pemberian dan caruman kerajaan Persekutuan. Ini menjadikan keseluruhan hasil negeri pada tahun 2021 adalah sebanyak RM448 juta.
“Penurunan anggaran hasil tahun 2021 adalah berdasarkan unjuran penurunan kutipan premium tanah sebanyak RM11.8 juta dan kehilangan hasil pemberian cukai pelancongan 2020 sebanyak RM2.47 juta daripada kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.
Sementara itu, Aminuddin dalam kenyataan akhbarnya berkata, Belanjawan Tahun 2021 yang bernilai RM560 juta itu adalah refleksi dan cerminan komitmen kerajaan negeri ketika negara berdepan cabaran pandemik Covid-19.
“Kerajaan negeri tidak berkompromi dengan keperluan dan kebajikan rakyat, agenda ini terus diberikan keutamaan dalam setiap perancangan kerajaan negeri.
“Kedudukan rizab yang kukuh sebanyak RM1.02 bilion membolehkan kerajaan negeri menetapkan peruntukan perbelanjaan tahun 2021 sebanyak RM560 juta iaitu melebihi dari jangkaan hasil sebanyak RM448 juta,” katanya.
Belanjawan Negeri Sembilan 2021 menyaksikan sebanyak empat strategi direalisasikan melalui 53 inisiatif yang merangkumi 22 inisiatif sedia ada dan 31 inisiatif baharu.
Ia memfokuskan kepada lapan bidang tumpuan iaitu ekonomi rakyat, pendidikan, kebajikan, pemerkasaan komuniti, belia dan wanita, kerohanian dan agama, institusi adat dan pentadbiran. – UTUSAN ONLINE