Meninggal sebelum sempat jumpa - Utusan Malaysia

Meninggal sebelum sempat jumpa

HAMID Salleh (tengah) yang terlantar sakit kanser hati meninggal dunia di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang isteri yang terkandas lebih lapan bulan di Singapura untuk bertemu dengan suaminya di sini tidak kesampaian apabila lelaki itu meninggal dunia semalam.

Hamid Salleh, 63, yang menghidap kanser hati tahap empat disahkah meninggal dunia pada pukul 6 petang di Kampung Melayu Majidee oleh pasukan perubatan.

Meharan Mohd. Atan, 61, berkata, dia sangat ralat kerana tidak sempat bertemu dengan suaminya untuk kali terakhir walaupun dia sepatutnya pulang ke sini hari ini.

“Saya sedih sangat tidak dapat bertemu dengannya untuk kali terakhir. Makcik berusaha untuk balik malam ini (malam tadi), kalau tidak dapat, mungkin esok (hari ini)
“Walaupun ralat, mak cik reda dengan ketentuan dan takdir Allah SWT terhadap berita sedih ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengikut perancangan, Meharan yang kini berada di Singapura dijangka pulang hari ini bagi menjaga suaminya yang tinggal berseorangan dan menghidap kanser hati tahap empat.
Wanita itu dijangka memasuki sempadan negara pada pukul 12 tengah hari ini.

Sebaik sahaja masuk, dia perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 seperti mana prosedur operasi standard (SOP) rentas sempadan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kisah menimpa Hamid yang terlantar sakit kerana menghidap kanser hati tahap empat manakala isterinya pula terkandas di Singapura sejak Mac lalu kerana penutupan pintu sempadan ekoran pandemik Covid-19.

Maheran dan empat anak lain yang tidak dapat pulang menjaga suami dan bapa mereka disebabkan masalah pintu sempadan ditutup untuk urusan keluar masuk antara dua negara.

Semasa ketiadaan mereka, Hamid dijaga sementara oleh rakan baiknya, Mohd. Yusof Othman, 54, bersama isterinya, Siti Hazar Abd. Jabar, 53. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN