MELAKA: Banjir yang semakin pulih di negeri ini menyaksikan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan sehingga pukul 3 petang ini.
Sehingga kini, hanya 96 penduduk daripada 23 keluarga terjejas masih berada di tiga PPS yang beroperasi iaitu dua di Jasin dan satu Alor Gajah.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, seramai 61 lagi mangsa banjir di negeri ini dibenarkan pulang berbanding 157 pagi tadi.
“Keadaan banjir di negeri ini terutamanya di daerah Jasin semakin beransur pulih, namun kita tetap mengambil langkah berwaspada untuk memantau kawasan-kawasan terlibat,” katanya di sini hari ini.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Gantong menempatkan 60 mangsa, manakala SK Tehel (30) diikuti PPS SK Durian Tunggal (6). – UTUSAN ONLINE