Mahu lupa kisah hitam Vila Nabila

Mahu lupa kisah hitam Vila Nabila

SEBUAH banglo usang di bahagian atas Villa Nabila di Jalan Skudai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang di sebuah banglo dikenali Vila Nabila di Bukit Alip, dekat sini mahu melupakan kisah hitam tersebut yang pernah menggemparkan negara kira-kira tujuh tahun lalu.

Mohamad Izzat Izzudin Hussin, 23, berkata, dia tidak lagi mahu dikaitkan dengan kisah tersebut setelah memilih meneruskan kehidupan normal dengan membantu ibunya berniaga di Kampung Hajah Hasnah Majidee,di sini.

“Saya mahu lupakan kisah di Vila Nabila dan tidak mahu ia berlarutan menghantui saya. Malah, saya juga sudah terputus hubungan dengan rakan yang bersama-sama ke vila tersebut tujuh tahun lalu.

“Sudah sampai masanya saya meneruskan kehidupan dan memberi tumpuan terhadap apa yang berada di depan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Pada 16 November 2013, Mohamad Izzat yang ketika itu berusia 16 tahun bersama 27 rakannya masuk ke dalam Villa Nabila pada tengah malam sebelum dilaporkan hilang.

Sebaliknya dia ditemukan di rumah rakan di Taman Desa Mutiara yang terletak kira-kira 15 kilometer dari banglo itu yang kononnya berhantu, dua hari kemudian.

Mohamad Izzat Izzudin bagaimanapun enggan menceritakan lebih lanjut kisah itu walaupun diminta memberitahu perkara sebenarnya yang berlaku.

Di mendakwa premis itu yang juga dikenali sebagai Christine Palace
mempunyai unsur mistik meskipun nampak biasa seperti rumah usang.

“Kali terakhir saya ke sana, seorang budak perempuan bersama kami seperti kena rasuk setelah ternampak lembaga di atas pokok.

“Kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kami hanya pasang bacaan al-Quran di Youtube. Setelah keadaan reda, Kami cepat-cepat meninggalkan kawasan itu menerusi jalan belakang menuju destinasi masing-masing.

“Sehingga kini, saya kesal kerana kecuaian tidak memaklumkan kepada keluarga tidak pulang ke rumah waktu itu telah menimbulkan isu besar,” katanya.

Dalam pada itu, ibunya, Norhayati Mohamad, 46, berkata, dia pernah dicemuh penduduk kampung gara-gara kejadian tersebut yang menimbulkan kekecohan ketika itu.

Katanya dia tidak ada pilihan selain membuat laporan polis setelah risau anaknya yang tidak pulang pulang ke rumah serta mendapat tahu lokasi terakhir anaknya berada ialah di banglo itu.

“Ibu mana yang tidak risau anak hilang di tempat bermisteri seperti itu. Izzat turut dimarahi polis kerana menyusahkan mereka melakukan aktiviti pencarian di kawasan itu,” katanya.

Vila berkenaan yang berusia lebih 40 tahun sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik hingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk luar negara khususnya pengkaji aktiviti paranormal manakala bangunan itu kini sudah berpagar dan tidak lagi boleh dimasuki. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya