Mahu kejutan ‘wow’ Belanjawan Johor 2021 - Utusan Malaysia

Mahu kejutan ‘wow’ Belanjawan Johor 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengusaha hotel dan teksi di negeri ini mahu kejutan ‘wow’ dalam Belanjawan Johor 2021 yang dapat memberikan suntikan baharu untuk mereka bangkit semula setelah terjejas teruk akibat kesan pandemik Covid-19.

Pengusaha Hotel Ghazrin Classic, Ghazrin Hafizi Ghazali berkata, untuk itu satu langkah agresif perlu dilakukan di samping terus memberikan suntikan modal bagi memacu industri pelancongan dan akhir­nya meningkatkan ekonomi negeri.

Beliau memberikan contoh pemberian baucar penginapan kepada pengunjung dari zon hijau untuk menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke negeri ini.
“Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini telah ditamatkan, aktiviti rentas negeri dan daerah adalah dibolehkan.

“Kita telah cuba bertahan, namun segala usaha tidak akan berjaya melainkan langkah agresif kerajaan untuk memacu semula pertumbuhan ekonomi termasuk pelancongan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad akan membentangkan Belanjawan Johor 2021 di Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Johor, Kota Iskandar.

Dalam pada itu Setiausaha Koperasi Pemandu Teksi Wilayah Iskandar (Kasturi), Abdul Rahman Kiri meminta kerajaan negeri dapat merangka belanjawan dengan memberi bantuan bulanan kepada pemandu teksi sehingga Co­vid-19 reda.

Katanya, mereka bukan sahaja berdepan kekurangan permintaan malah perlu membayar sewa teksi dan pinjaman bank serta menampung keluarga termasuk mempunyai anak masih bersekolah.

“Sehingga kini, terdapat kes kereta pemandu teksi hampir ditarik bank kerana mempu­nyai tunggakan pinjaman berbulan-bulan. Kalau tiada kereta, jadi macam mana kami mahu cari makan.

“Oleh itu, saya harap belanjawan dapat pandang-pandang kami ini, kami sudah tidak mampu menanggung pende­ritaan. Itu kalau boleh bagilah bantuan bulanan untuk sementara waktu kepada pemandu teksi di negeri ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN