Lupa tutup api goreng ayam, rumah musnah terbakar - Utusan Malaysia

Lupa tutup api goreng ayam, rumah musnah terbakar

KEADAAN rumah didiami Anisah Mamat sekeluarga yang musnah dalam kebakaran di Kampung Baroh, Bachang, Melaka, pagi ini. - UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara terlupa sedang menggoreng ayam di atas dapur, rumah diduduki lima sekeluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Baroh, Bachang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, kesemua mangsa iaitu seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya masing-masing berusia 11, 12 dan 16 tahun serta ibunya berumur 75 tahun berjaya menyelamatkan diri.

Mangsa, Anisah Mamat, 41, memberitahu, kejadian berlaku selepas anak perempuannya berusia 12 tahun terlupa sedang menggoreng ayam di atas dapur dan hanya menyedari kejadian setelah api telah marak.

“Ketika kejadian saya sedang mengemas rumah di bahagian hadapan dan tiba-tiba anak menerpa memberitahu dia terlupa ayam yang sedang digoreng di atas dapur dan api telah marak.

“Anak sulung lelaki berusia 16 tahun cuba memada api dengan menjirus air namun api marak dengan cepat kerana bahagian dapur rumah ini diperbuat daripada kayu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ujar Anisah, di terus membawa ibunya yang sakit tua dan ketiga-tiga anaknya keluar dari rumah tersebut sebelum menghubungi pasukan bomba.

Tambahnya, rumah tersebut adalah pusaka milik ibunya yang berusia lebih 50 tahun dan menganggarkan nilai kerugian lebih RM100,000 termasuk kesemua barangan yang musnah.

“Saya cuma sempat selamatkan dokumen penting, selebihnya kami terpaksa biarkan termasuk duit simpanan dan kemungkinan terdapat barang kemas emak yang disimpan di bilik,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Timbalan Penguasa Bomba II, Jum’at Tariman berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.19 pagi dan sepasukan 12 anggota bersama-sama dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 11.37 pagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya