SEREMBAN: Sebuah Loji Rawatan Air (LRA) baharu beserta projek sistem takungan air atau ‘Off River Storage’ (ORS) akan dibina di Port Dickson bagi menangani keperluan air bersih dalam jangka masa panjang.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaannya bagi menampung keperluan air kepada penduduk di daerah Port Dickson dan Nilai yang semakin meningkat.
“Projek ini adalah cadangan daripada kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan susulan penduduk semakin bertambah. Projek ini akan dibina secepat mungkin.
“Kos keseluruhan pembinaan loji berkenaan belum diputuskan namun pihak kerajaan sudah mengadakan lawatan ke tapak lokasi LRA baharu tersebut,” katanya selepas menerima sumbangan untuk mangsa banjir daripada syarikat Matrix Concepts Sdn. Bhd. di Wisma Negeri, dekat sini hari ini.
Sumbangan sebanyak RM200,000 tersebut disampaikan Pengarah Urusan Kumpulam Matrix Concepts, Ho Kong Soon.
Sementara itu, Aminuddin berkata, sebuah lagi LRA iaitu LRA Ngoi-Ngoi 2 di Seremban juga akan dibina bagi menampung bekalan air bersih untuk penduduk Seremban Utara.
“LRA ini akan dibina pada pertengahan tahun hadapan, kini ia masih dalam proses tender,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, susulan masalah gangguan bekalan air di Port Dickson dan sebahagian Seremban, sebanyak 80 peratus penduduk di kawasan tersebut sudah mula menerima bekalan air hari ini.
“Alhamdullilah, walaupun masih belum semua kawasan pulih namun sebahagian kawasan Port Dickson dan Seremban telah mencapai 80 peratus menerima bekalan air manakala kerja-kerja baik pulih masih terus berjalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE