SEPANG: Lima lagi penghuni dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini yang sebelum ini dikatakan gagal dikesan, pulang semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan penghuni Medan 88 yang kembali ke kawasan berkenaan adalah seramai 32 orang.
Beliau berkata, tiga daripada mereka adalah rakyat tempatan manakala dua lagi warga Indonesia.
“Semua penduduk yang kembali itu menjalani ujian saringan Covid-19. Daripada tiga rakyat tempatan itu, dua daripadanya lelaki dan seorang wanita manakala kedua-dua warga Indonesia itu adalah lelaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak Khamis lalu, warga asing paling ramai kembali semula ke kawasan itu iaitu seramai 19 orang terdiri daripada 14 lelaki dan lima wanita.
Katanya, pecahan mengikut kewarganegaraan terdiri daripada sembilan warga Indonesia, warga Thailand (tujuh orang) dan masing-masing seorang warga India, Nepal serta Myanmar.
“Warga tempatan yang pulang pula adalah seramai 13 orang terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, seramai 44 orang positif Covid-19 hasil saringan sebelum Temco dilaksanakan yang dikesan menerusi Kluster Bah Medan.
“Jumlah positif saringan selepas Temco dilaksanakan adalah seramai empat orang. Secara keseluruhannya, jumlah positif Covid-19 di Medan 88 adalah seramai 48 orang setakat ini,” katanya.
Menurutnya, polis mempertingkat usaha bagi mengesan penduduk yang hilang di samping mengharapkan bantuan orang ramai bagi menyalurkan bantuan.
Temco di kawasan itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula 12 November lalu sehingga 25 November ini membabitkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 penduduk. – UTUSAN ONLINE