MELAKA: Seorang lelaki tidak mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki yang juga suami kepada bekas isterinya, bulan lalu.
Tertuduh, Rashidee Abd. Razak, 34, bagaimanapun membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan bagi pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Nor Zamira Mohd. Isa, 26.
Mengikut pertuduhan pertama, pekerja syarikat pembersihan sisa klinikal itu didakwa menyebabkan kematian Nuruddin Ismail, 33, yang kedua-dua perbuatan itu dilakukan tertuduh pada pukul 6.45 petang di kawasan pejalan kaki Hospital Melaka, 10 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun sama yang masing-masing memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya dan penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Long Meng Si.
Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Beliau menetapkan 31 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes berserta fakta dan hukuman bagi pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, seorang pesara tentera berdepan hukuman penjara tujuh tahun selepas dituduh mengugut untuk membunuh isterinya menggunakan sebilah parang, Selasa lalu.
Tertuduh, Murshid Wirdan, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan dengan mengugut untuk membunuh isterinya, Munah Mohd. Noor, 62, menggunakan sebilah parang pada pukul 10.15 malam di sebuah rumah di Taman Peruna Sungai Udang pada 24 November lalu.
Pendakwaan yang dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nora Yaacob sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan 7 Januari tahun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE