KULAI: Walaupun tidak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sri Gunung Pulai seperti tular di media sosial tetapi laluan masuk ke kawasan itu dikawal pasukan keselamatan
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati terdapat anggota polis membuat pemeriksaan terhadap semua kenderaan yang melalui pintu masuk kampung berkenaan.
Pada masa sama, kelihatan beberapa petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pembahagian bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar.
Menurut Penghulu Mukim Kulai, Omar Parbi, seramai 164 keluarga di kampung itu mula menerima bantuan makanan daripada pelbagai pihak susulan terdapat kes positif Covid-19 dan pergerakan mereka dikawal.
Katanya, pergerakan keluar masuk hanya dibenarkan kepada penduduk yang tidak dipakaikan gelang khas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalankan rutin harian.
“Sekatan keluar masuk kampung masih ada tapi hanya melibatkan penduduk yang tiada gelang, boleh keluar pergi beli barang dan boleh bekerja.
“Di sini ada dua kedai runcit, tapi tidak beroperasi. Mahu tak mahu penduduk perlu pergi ke gerai yang paling hampir iaitu di Kampung Melayu Raya kira-kira dua kilometer dari sini.
“Bagaimanapun, penduduk tidak perlu risau kerana keperluan makanan sudah dipenuhi sejak awal pagi tadi kerana dapat bantuan daripada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu dan agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Omar berkata, tiada pelawat dibenarkan mengunjungi Hutan Lipur Gunung Pulai yang terletak di kawasan kampung itu, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan tanggungjawab menjaga kampung itu.
Terdahulu, tular mesej WhatsApp dan laman sosial, yang mendakwa kawasan berkenaan dikenakan PKPD berikutan terdapat kes positif Covid-19.
Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu menafikan laporan tersebut.
“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksanakan pengesanan kes aktif dan penilaian risiko di kawasan berkenaan.
“Memang ada kes (Covid-19) dan pengawalan, pengesanan kontak dan saringan dijalankan di sana. Buat masa ini, belum lagi (PKPD), kami kena buat penilaian risiko dan trend penularan serta bilangan kes dahulu,” katanya. – UTUSAN