Kit Siang dakwa Tengku Zafrul ugut pembangkang - Utusan Malaysia

Kit Siang dakwa Tengku Zafrul ugut pembangkang

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai satu ugutan terhadap pembangkang.

Dakwaan itu berikutan Tengku Zafrul sebelum ini menjelaskan gaji petugas barisan hadapan terjejas jika Belanjawan 2021 gagal diluluskan.

Namun, menurut Kit Siang, kenyataan itu juga turut dilihat seperti mempersoal usahanya serta pembangkang lain yang cuba meneliti kandungan Belanjawan 2021 untuk disokong dengan baik.

“Saya bersetuju dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang kenyataan Tengku Zafrul ini adalah satu ugutan yang tidak boleh diterima dan adalah satu cubaan untuk mengetepikan kritikan yang sah terhadap Belanjawan 2021 yang tidak dipertimbangkan oleh Kabinet.

“Menteri kewangan mengambil kesempatan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya ahli-ahli Parlimen menyokong belanjawan ini untuk memulihkan ekonomi negara dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang dikatakan datang ‘sekali dalam seabad’,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyifatkan kenyataan Tengku Zafrul itu sebagai tidak bertanggungjawab, Kit Siang berkata, pertemuan pihak pembangkang dengan wakil kerajaan pada minggu lalu bagi membincangkan mengenai kandungan Belanjawan 2021 itu tidak memadai.

Sepatutnya kata beliau, satu lagi pertemuan harus diadakan bersama Tengku Zafrul bagi mempertimbang kembali cadangan pihak pembangkang.

“Memandangkan telah selesai seminggu perbahasan Belanjawan 2021 ini, Tengku Zafrul perlu berjumpa dengan ketua pembangkang untuk membincangkan bagaimana beliau boleh memasukkan pendapat dan cadangan ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya Belanjawan 2021 ini boleh benar-benar menjadi Belanjawan Perpaduan,” katanya lagi.

Terdahulu, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, beliau optimis Belanjawan 2021 akan diluluskan bagi membantu masyarakat khususnya petugas barisan hadapan yang berkorban dalam penularan pandemik Covid-19.

“Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, tidak ada sebab mengapa kita harus menolak bajet ini.

“Dari segi ekonominya, kita tidak dapat membayar banyak perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan seperti petugas barisan hadapan, membayar bantuan Prihatin rakyat dan sebagainya sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan,” ujar Tengku Zafrul. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN