Kematian Adib belum terbela - Utusan Malaysia

Kematian Adib belum terbela

MOHD. KASSIM ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Semalam genap dua tahun tragedi rusuhan kuil yang meragut nyawa Muhammad Adib Mohd. Kassim, namun keluarganya kecewa apabila kematian arwah yang masih belum terbela sehingga mengundang kesedihan mendalam.

Bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, dia terutama isterinya, Asma Aziz, 52, masih menaruh harapan tinggi agar penjenayah yang menyebabkan kematian anak mereka itu dibawa ke muka pengadilan.

“Kerinduan dan kesedihan kami masih mendalam terhadap arwah. Bila rindu apa yang kami boleh buat melainkan banyak berdoa supaya kes ini segera menemukan pengakhiran dan penjenayah yang menyebabkan kematian Adib dibawa ke muka pengadilan.

“Walaupun sudah dua tahun berlalu kami masih mengharap dan terus mengharap,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB MOHD. KASSIM

Mohd. Kassim yang juga seorang pesawah dari Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini melahirkan rasa tidak puas hati kerana tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak berkenaan susulan keputusan inkues kes Muhammad Adib sebelum ini.

“Sekarang kami masih menunggu apa tindakan pihak polis walaupun Mahkamah Koroner putuskan kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali. Bukan itu sahaja, mahkamah merumuskan kegagalan polis dan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) mengawal rusuhan juga menjadi faktor kepada kematiannya.

“Peguam keluarga saya sendiri sudah minta polis segerakan siasatan tetapi sehingga sekarang kami masih tunggu tindakan itu. Tiada sesiapa yang menghubungi kami memberi sebarang maklum balas, “ katanya dengan nada sedih.

Bercerita lanjut dengan suara tersekat-sekat, Mohd. Kassim memberitahu, walaupun terpaksa menunggu untuk tempoh lama, keluarganya berterusan berdoa dan berharap kematian Muhammad Adib mendapat pembelaan suatu hari ini.

Tambahnya, saat merindui anak kesayangan mereka itu, dia dan isteri menziarahi kuburnya.

“Selain itu, gambar arwah jadi pengubat rindu di hati kami,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN