Kecoh wanita gelang ‘pink’ dalam pasar raya - Utusan Malaysia

Kecoh wanita gelang ‘pink’ dalam pasar raya

WANITA memakai gelang pink menimbulkan kekecohan di sebuah pasar raya di Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah pasar raya di Batu Berendam di sini kecoh apabila terdapat wanita yang memakai gelang merah jambu memasuki ke dalam premis itu bagi membeli barangan persiapan perayaan Deepavali, kelmarin.

Bagaimanapun, wanita itu berjaya dicekup pengawal keselamatan setelah dilapor oleh orang ramai.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, wanita itu dicekup di pintu masuk pasar raya berkenaan selepas dikesan memakai gelang merah jambu pada tangan kanan yang disorokkan di bawah jaket lengan panjang.

Katanya, wanita itu kemudian disuruh keluar dari premis itu dan menunggu di hadapan pejabat pengawal keselamatan sebelum dilaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Wanita itu memberitahu pengawal keselamatan bahawa dia datang bersama seorang lagi saudara lelakinya yang telah masuk ke dalam pasar raya berkenaan.

“Dia kemudian diminta untuk menghubungi saudaranya itu keluar dari situ,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jelasnya, hasil soal siasat, wanita yang bekerja sebagai operator kilang berkenaan memberikan alasan keluar ke pasar raya tersebut untuk membeli barang-barang persiapan bagi sambutan Deepavali pada 14 November ini.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, semakan dengan Kementerian Kesihatan mengesahkan wanita tersebut adalah individu di bawah pengawasan (PUS).

“Tempoh kuarantin wanita tersebut sepatutnya berakhir pada 12 November ini dan dia diiiringi anggota polis pulang untuk sambung kuarantin di rumah.

“Kita juga memintanya untuk serah diri di balai polis berhampiran selepas tamat tempoh kuarantin selain perlu disahkan negatif Covid-19,” katanya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2020 dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN