Kawalan sempadan tak boleh bergerak silo - Utusan Malaysia

Kawalan sempadan tak boleh bergerak silo

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kawalan seluruh sempadan negara perlu diperkukuhkan melalui penglibatan bersepadu semua agensi keselamatan dan tidak boleh lagi hanya bergerak secara silo.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu akan dilihat secara menyeluruh dengan menambah kekuatan anggota dan aset berkaitan, termasuk keperluan membina lebih banyak pos kawalan.

Menurut beliau, model National Task Force (NTF) yang mengetuai Op Benteng yang ditubuhkan bagi mengawal sempadan daripada dicerobohi pendatang tanpa izin (PATI) dan mengekang penularan Covid-19, akan diguna pakai untuk diaplikasikan di seluruh negara.

“Kita akan melihat keperluan ini secara menyeluruh terutama di sempadan utara semenanjung selepas kejadian tembakan berlaku baru-baru ini.

“Strategi sekarang menumpukan kekuatan kita di seluruh sempadan, kita akan perkukuhkan kawalan keselamatan negara,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Kementerian Pertahanan di sini semalam.

Panjang sempadan darat Malaysia dan Thailand sejauh 595 kilometer.

Ismail Sabri berkata, keperluan pembinaan tembok sempadan akan turut dibincangkan untuk melihat dari segi kos selain menilai jarak sempadan jika boleh menjadi penghalang utama kemasukan PATI atau penjenayah warga asing.

Ini kerana katanya, terdapat lokasi-lokasi tertentu hanya dipisahkan melalui pagar berduri yang memudahkan penjenayah meloloskan diri dengan hanya memotong pagar.

“Isu pagar antara yang akan dilihat keperluannya, walaupun ada dua pagar di sempadan Thailand dan Malaysia, mungkin ada pagar yang mudah dipotong.

“Jadi nak lihat semula, kena tengok keseluruhannya dari segi pagar, pos kawalan, jumlah anggota penguatkuasaan yang terlibat seperti Op Benteng yang dibuat secara bersepadu untuk mengawal betul-betul keselamatan sempadan.

“Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengetuai NTF Op Benteng akan membincangkan perkara ini dengan agensi-agensi keselamatan lain. Saya dah minta mereka bermesyuarat,” katanya.

 

Kelmarin, seorang lagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Kejadian serangan ke atas anggota PGA adalah yang kedua selepas dua anggota PGA diserang di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar, Perlis sehingga seorang terbunuh pada Selasa lalu.

Anggota yang terbunuh ialah Sarjan Baharuddin Ramli, 54, manakala rakannya yang cedera ialah Sarjan Norihan Tari, 39. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×