‘Kami mohon maaf’ - Utusan Malaysia

‘Kami mohon maaf’

IBU kepada suspek pembunuhan Siti Nor Surya Ismail ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia di rumahnya di Kuala Telemong, Hulu Terengganu, Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Keluarga kepada suspek kes pembunuhan Siti Nor Surya Ismail, 19, semalam bertemu dengan keluarga mangsa bagi memohon maaf atas kejadian 1 November lalu itu.

Kunjungan ibu bapa suspek yang berusia 42 tahun ke rumah Ismail Muda, 58, di Kampung Beladau Selat di Kuala Terengganu kira-kira pukul 8 pagi itu turut disertai datuknya dan beberapa saudara serta rakan terdekat keluarga.

Ibu suspek berkata, dalam pertemuan hampir satu jam itu, mereka suami isteri memohon maaf kepada keluarga mangsa bagi pihak anak sulung mereka yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Alhamdulillah, pagi tadi (semalam) kami sudah berkunjung ke rumah keluarga mangsa dan kami dilayan dengan baik oleh mereka.

“Tujuan kami ke sana untuk memohon maaf bagi pihak anak kami tetapi mereka cuma diam. Saya faham jika mereka sukar berbuat demikian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Telemong di sini.

Dalam perkembangan sama, wanita itu berkata, kelewatan berjumpa dengan keluarga Siti Nor Surya disebabkan keka­ngan kesihatannya di samping perkara-perkara lain termasuk kerap menerima kunjungan tetamu di rumahnya sekali gus membuatkan hasrat tersebut tertangguh.

Dia yang menghidap pe­nyakit kencing manis dan darah tinggi berkata, sejak kelmarin dia mula mendapat kekuatan untuk keluar rumah dan selepas berbincang dengan keluarga, mereka sepakat bertandang ke rumah rakan baik anaknya itu.

Dia turut meluahkan pe­rasaan bimbang de­ngan pe­ngakhiran hidup anak sulungnya yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan.

“Saya sentiasa fikir apa kesudahan hidup anak saya nanti tetapi terus berdoa memohon keredaan Allah SWT,” katanya.

Semalam, Ismail mengakui sukar untuk mereka sekeluarga memaafkan perbuatan individu yang didakwa membunuh insan tersayang mereka kerana pembunuhan itu bukan disifatkan kematian biasa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN